‘Kalau dapat jumpa saya nak peluk dia’

TERKESAN dengan kes lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) dipukul sekumpulan peniaga, penyanyi Zynakal menyifatkan masyarakat kini semakin kejam apabila bertindak tanpa belas kasihan terhadap insan lain.

Zynakal atau nama sebenarnya Muhammad Raziq Rosli, 27, berkata, dia terpanggil menyentuh insiden terbabit sebaik mengetahui mangsa berusia 47 tahun itu mempunyai masalah kesihatan mental.

“Kes pak cik OKU dipukul buat saya terpangil untuk beri respons. Fizikal pak cik itu nampak sempurna tetapi dia ada masalah kesihatan mental.

Apabila bercakap fasal ‘mental illness’, saya jadi ‘triggered’. Pakcik itu sudah tua, saya tak boleh terima apabila dia dipukul.

“Perbuatan tersebut sangat kejam,” katanya menerusi perkongsian video dalam TikTok miliknya.

Sebak sehingga menitiskan air mata, Zynakal yang berdepan masalah Bipolar Mania bersimpati selain mendoakan kesejahteraan individu terbabit.

Kalau dapat jumpa pakcik itu, saya nak peluk dia. Saya nak beritahu dia yang ramai orang tak akan faham tentang masalah mental.

“Saya harap dia dalam keadaan sihat dan baik-baik sahaja,” ujarnya yang didiagnosis Bipolar pada usia 19 tahun.

Pada 17 Januari lalu, tular rakaman video memaparkan seorang lelaki dipukul dan diheret beberapa individu di sebuah pasar awam .

Kejadian itu dipercayai berlaku selepas lelaki terbabit yang menunggang motosikal terlanggar sebuah gerai sehingga mengakibatkan makanan jualan peniaga terjatuh.

Polis setakat ini menahan enam suspek yang dipercayai terlibat dalam kes di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, Terengganu itu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok