‘Jangan angkuh, kebakaran itu satu peringatan’

LOS Angeles hampir lumpuh, pelakon Fizo Omar berharap masyarakat dunia mengambil ikhtibar atas insiden kebakaran hutan terbesar di bandaraya terbesar di California itu agar jangan bersikap angkuh.

Fizo atau nama lengkapnya, Wan Hafizol Wan Omar, 39, berkata, kejadian yang berlaku sejak 6 Januari lalu sebagai peringatan kepada manusia agar sentiasa ‘membumi’.

“Saya tengok kebakaran itu dari mula lagi memang menakutkan. Apabila fikir ikut akal, memang tak logik (tapi) kuasa Allah sangat hebat.

Baru-baru ini Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump meraikan tebusan, berlagak sombong, belanja berbilion dolar semata nak hancurkan Gaza, Allah hantar api terus ranap semua musnah.

“Saya bukan nak meraikan apa yang berlaku, tetapi ini satu mesej untuk membuka mata semua pihak yang tak kisah agama,” katanya dalam siaran langsung di media sosial.

Fizo turut menasihatkan pengikutnya jangan menganggap kuasa serta wang dapat dijadikan benteng kekebalan diri atau sesebuah negara.

“Mereka (Amerika Syarikat) berpengaruh besar, perkara yang jadi disebabkan keangkuhan dan kesombongan.

“Hidup ini jangan berlagak dengan orang, itu mesejnya. Jangan ingat kuasa dan duit boleh mengatasi segalanya,” ujarnya.

Perkongsian tersebut difahamkan susulan tragedi kebakaran yang berlaku di kawasan Pacific Palisades sebelum api merebak dengan pantas ke enam wilayah lain di Los Angeles.

Hingga kini 14 orang terkorban, manakala 16 mangsa lain masih hilang dengan lebih 10,000 struktur bangunan musnah membabitkan 12,000 hektar kawasan.

Kejadian tersebut turut memusnahkan kediaman selebriti Hollywood seperti Paris Hilton, Anthony Hopkins, Spencer Pratt, Leighton Meester, Adam Brody serta Anna Faris. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok