‘Gagal semester 1, tiada layanan istimewa di Aswara’

PANTAS masa berlalu, kini berbaki setahun lagi pengajian Ayu Damit sebagai penuntut Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Asasi Seni Kreatif.

Meskipun nampak mudah, pemilik nama sebenar Norayu Damit itu sebenarnya pernah gagal pada semester pertama gara-gara mahu mencabar diri dalam jurusan klasikal.

Menurut penyanyi berusia 36 itu, disebabkan kegagalan tersebut dia perlu meneruskan pembelajaran dalam jurusan moden bagi menyelesaikan pengajian.

“Bila masuk Aswara ada tiga jurusan besar iaitu Klasikal, Moden dan Tradisional. Masa awal fikir pernah buat pop dan tradisional tetapi bukan klasikal yang menggunakan lebih banyak teknik.

Masuk semester pertama, sebagai penyanyi balada nak tukar klasikal bukan senang lebih-lebih lagi apabila suara saya dah ‘masak’.

“Masa tahun satu saya gagal, pensyarah pun cakap saya tak boleh buat klasikal dan lebih baik ambil jurusan lain,” katanya kepada HibGlam.

AYU kini sudah berada dalam semester empat jurusan Seni Kreatif di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan. – SYAKIR RADIN

Biarpun bergelar penyanyi dan pernah menjuarai One In A Million (OIAM) musim kedua, pelantun lagu Hanya Di Mercu itu mengakui tidak menerima layanan istimewa daripada sesiapa pun sepanjang berada di Aswara.

“Di Aswara saya dilayan sama seperti pelajar lain. Senang cakap memang tiada layanan khas untuk penyanyi.

“Kalau tak hadir kelas, memang kena gantung atau dapat surat amaran walaupun alasan saya memenuhi undangan persembahan.

“Kadang-kadang atas budi bicara pensyarah juga. Kalau dia izinkan, okey sahaja,” ujarnya lagi.

Perkembangan lain, Ayu bakal menjayakan persembahan di Panggung Eksperimen Aswara untuk Malam Laguan Puisi: Bunyian Irama dan Prosa yang mengangkat keindahan karya sastera tempatan dalam bentuk hiburan moden.

Ayu bersetuju menyertai malam tersebut bagi menjalin hubungan baik dengan pelajar lain di Aswara.

“Saya bersetuju terima pelawaan Malam Laguan Puisi sebab saya pelajar Aswara. Pensyarah saya yang pelawa.

Sebagai penyanyi, selama ini saya nyanyi lagu balada atau pop tetapi kali ini lebih mendayu-dayu sebab itu saya tertarik untuk turut serta.

“Lagi pun saya kena banyak bekerjasama dengan pelajar lain untuk jalin komunikasi sebab praktikal nanti saya perlu menggunakan khidmat mereka,” jelasnya.

Selain Ayu, Malam Laguan Puisi: Bunyian Irama dan Prosa anjuran FB Media Ventures dengan sokongan program ArtsFAS Yayasan Hasanah, ASWARA, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Kelab Deklamator Malaysia (DEKMAL) dan Silent Set Entertainment akan turut disertai selebriti lain seperti Aqasha dan Leaism  Azizul Haqim.

Bagi yang berminat, tiket dijual pada harga RM80 untuk orang awam dan RM30 untuk pelajar menerusi laman sesawang www.malamlaguanpuisi.mystrikingly.com. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok