KOMITED menghidupkan watak dalam lakonan, pelakon Trisha Ooi sanggup melakukan perubahan pada penampilannya termasuklah menindik kening.
Menurut Trisha atau nama sebenarnya Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi, 26, dia mahu menyahut cabaran sebagai seorang pelakon dengan menampilkan sisi berbeza setiap kali muncul dengan naskhah baharu.
“Sebelum ini orang lihat saya berambut ‘blonde’. Terbaharu saya tindik kening demi watak dalam drama One Cent Thief musim kedua.
Sebagai pelakon saya akan cuba tunaikan permintaan pihak produksi tentang penampilan saya untuk watak yang akan saya lakonkan.
“Begitu pun saya masih tetapkan limitasi agar tidak melanggar batas dan keterlaluan. Mungkin ada yang berpendapat saya kelihatan seksi, tetapi selagi tidak keterlaluan saya okey sahaja,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana drama One Cent Thief musim kedua baru-baru ini.
Bercerita lanjut mengenai pembabitannya sebagai watak baharu dalam drama berkenaan, Trisha akui teruja terpilih sebagai salah seorang pelakon.
“Saya sangat gembira dan rasa bertuah kerana terpilih bawa watak baharu dalam drama fenomena ini. Sebenarnya, ini kali pertama saya berlakon untuk Astro. Dan, inilah watak yang saya idam-idamkan selama ini. Memang saya pernah bawakan watak aksi sebelum ini tetapi kesemuanya untuk filem, Untuk drama bersiri ini adalah yang pertama.
“Karakter ini lain daripada watak-watak aksi yang pernah saya lakonkan. Jalan cerita One Cent Thief pun berbeza dengan drama-drama sedia ada.
“Karakter sebagai D dalam drama ini betul-betul mencabar saya sebagai pelakon daripada segi lakonan, penghayatan dan juga penampilan,” katanya – HIBGLAM