‘Berjaya atau tidak, itu kehendak-Nya’ – Fairuz Selamat tinggalkan GV11

SELEPAS dua kali terselamat, akhirnya Fairuz Selamat terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada pentas Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11) apabila namanya diumumkan tersingkir malam ini.

Menerusi konsert minggu ke-10 (suku akhir) yang bertemakan ‘rockdut’ (rock dan dangdut) Fairuz menyampaikan lagu Hang Pi Mana daripada kumpulan Khalifah dan Yang Penting Hepi (Jamal Mirdad).

Menurut komen juri tetap, Datuk Syafinaz Selamat, terdapat beberapa masalah dalam persembahan Fairuz.

Sewaktu awak masuk ke pentas, saya lihat awak seperti sedang bertafakur sebelum mula persembahan. Isu awak adalah tempo dan juga nada yang tak begitu tepat.

“Bagi saya kalau awak diberikan lebih masa, mungkin persembahan ini akan jadi lebih baik. Tetapi tak apa, awak telah lakukan yang termampu,” katanya.

Sementara itu, Fairuz dalam ucapannya selepas diumumkan tersingkir berkata, dia reda dengan takdir yang sudah tertulis untuknya.

Saya selalu fikir ini semua kuasa Allah. Kalau saya berjaya itu adalah kerana Allah izinkan, kalau tidak berjaya itu kehendak-Nya.

“Kalau persembahan saya menghiburkan penonton, saya anggap itu sebagai satu pahala. Terima kasih kepada barisan juri dan semua,” katanya.

Dengan tersingkirnya Fairuz Selamat, tinggal tujuh lagi peserta yang akan berentap di peringkat separuh akhir minggu hadapan iaitu Liza Aziz, Ning Baizura, The Lima, Sheila Abdul, Zehra Zamri dan Ronnie Hussein. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok