Tak nak dengar alasan, suara mereka sudah matang – Ramli MS

SELEPAS lebih sedekad mendominasi industri hiburan tanah air, program realiti, Gegar Vaganza (GV), kembali dengan lembaran baharu yang lebih mencabar.

Perkembangan tersebut sekali gus menyaksikan pengaruh maestro muzik tersohor, Datuk Ramli MS yang kini bergelar Profesor Adjung kekal teguh di kerusi juri utama.

Bukan sahaja kembali sebagai juri, edisi kali ini membawa erti yang jauh lebih peribadi dan istimewa buat figura yang mesra disapa Tok Ram itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mana tidaknya, sebahagian besar daripada peserta yang bakal berentap di pentas GV13 merupakan bekas anak didik yang pernah dibimbingnya sendiri bawah program Akademi Fantasia (AF) dua dekad lalu.

Baginya, tempoh masa 20 tahun mematangkan kerjaya seni, seharusnya diterjemahkan menerusi kualiti persembahan yang jauh lebih cemerlang dalam gelanggang GV23 kelak.

“Benda ini satu benda intelektual. Suara mereka selepas 20 tahun dah matang, dalam GV mereka kena menyanyi lagu orang.

“Di situ permainan bermula. Sudah semestinya saya rasa mereka ada pengalaman menyanyi, jadi saya jangkakan mereka melakukan persembahan sepatutnya,” kata Tok Ram.

Sebagai antara individu yang bertanggungjawab mencorakkan asas seni mereka dahulu, Tok Ram tidak akan berkompromi dengan sebarang persembahan yang hambar.

“Bukan lebih tegas, saya akan ‘firm’ dari segi apa yang mereka berikan. Saya yang berikan pelajaran dalam AF.

“Dibandingkan dengan artis-artis lain, mereka tiada apa-apa. Kali ini mereka dah diberikan teori dan praktikal.

“Bila 20 tahun dah merantau banyak tempat, sudah pasti benda itu menuntut balik. Mereka perlu beri balik dengan standard yang lebih,” ujarnya.

MENAMPILKAN peserta juara AF, pentas GV13 yang bakal membuka tirai pada 8 November ini pastinya menjadi medan pertembungan paling ditunggu-tunggu khalayak.

Tambahnya lagi, ruang masa di atas pentas adalah satu detik penentu untuk menunjukkan bakat masing-masing.

“Saya tak nak dengar apa-apa alasan sebab bila saya dengar suara mereka sekarang dah matang.

“Saya jangkakan praktikal mereka akan lebih baik. Bila datang sini, kena buat yang terbaik,” tegasnya.

Menjawab mengenai ketegasannya di kerusi juri, Tok Ram menjelaskan bahawa kritikan yang diberikan demi kebaikan jangka panjang barisan peserta itu sendiri.

“Bukan masalah berani atau tak, walaupun ada undian mereka kena menyanyi betul-betul. Ini GV, kena lakukan terbaik.

“Tidak ada bantuan daripada luar. Kalau awak menyanyi sumbang, takkan saya nak senyum? Tidak, memang tugas saya untuk komen bagi kebaikan minggu seterusnya.

“Bukan menghentam atau mengkritik tapi kalau ada yang malas atau ambil sambil lewa, mereka akan kena. Mereka ada dua minit setengah saja untuk buat persembahan, kenapa tak buat elok-elok?

Pentas GV13 yang bakal membuka tirai pada 8 November depan pastinya menjadi medan pertembungan paling ditunggu-tunggu. Setakat ini, sembilan juara AF telah mengesahkan penyertaan, antaranya Vince, Mawi, Zahid, Shahir, Mila Jirin, Stacy, Faizal Ramly, Faizul Sani dan Firman. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok