PELAKON dan pelawak Along Cham mengesahkan akan menfailkan lafaz cerai taklik terhadap isterinya, Afreena Suhaimi di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Sepang, Selangor dalam masa terdekat.
Menurut Along dan Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, tindakan tersebut diambil selepas mendakwa isterinya sudah melanggar tiga perjanjian taklik yang dipersetujui sebelum ini pada tahun lalu.
Antara taklik yang dilanggar Afreena ialah tidak patuh dan membelakangkan suami.
Ya, saya akan failkan dan buat pengesahan lafaz taklik terhadap isteri di Mahkamah Rendah Syariah Sepang sebab alamat rumah saya di bawah mukim Sepang.
“Memang mengejutkan semua, ibarat drama yang ada ‘plot twist’.
Sebelum ke mahkamah untuk failkan pengesahan, saya perlu dapatkan beberapa dokumen penting seperti sijil nikah termasuk kad pengenalan saya yang masih dalam simpanan ‘mak lampir’ (Afreena).
“Dia langgar taklik itu beberapa bulan yang lalu iaitu pada tahun lepas. Buat masa sekarang saya tak boleh cerita panjang sebab semuanya masih belum selesai,” katanya kepada HibGlam di pekarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya di sini, hari ini.
Sambung Along, dia sepatutnya memfailkan lafaz cerai taklik tersebut di mahkamah pada 16 Disember tahun lalu tetapi ditahan pihak polis pada 14 Disember atas dakwaan memiliki dadah.
Dalam masa sama dia meminta orang ramai tidak melemparkan tuduhan isu perceraian tersebut berkaitan dengan kes dadahnya sebelum ini.
“Jadi, ini tindakan pertama saya lakukan selepas keluar dari ‘madrasah’ (penjara) semalam.
Kepada netizen, belajarlah agama lebih tinggi sebab lafaz taklik ini tiada kaitan dengan kes saya ditahan sebab isu dadah.
“Tolong ya, bila cetek ilmu agama, jangan buat penilaian sendiri,” jelasnya.
Along juga tidak menafikan wujud orang ketiga dalam permasalahan rumah tangga mereka.
Akuinya, dia juga tidak menyangka rumah tangga yang dibina selama sembilan bulan itu bermasalah.
“Orang ketiga itu ada tetapi bukan berkaitan isu curang. Namun, saya tak boleh memberi huraian lanjut.
Padan muka saya, ‘menggelanyar’ sangat nak kahwin. Memanglah sedih sebab pasangan mana yang berkahwin hendak bercerai.
“Saya sudah habis sayang rumah tangga saya dan agak terkejut sebab dia masih langgar (perjanjian taklik) juga,” jelasnya.
Hari ini, HibGlam melaporkan Along bakal memfailkan dan membuat pengesahan lafaz cerai secara taklik terhadap Afreena di Mahkamah Syariah Putrajaya.
Along dan Afreena, 32, mendirikan rumah tangga pada 4 April lalu.
Sebelum ini, Along pernah mendirikan rumah tangga dengan bekas Bintang Akademi Fantasia musim keempat (AF4) iaitu Zila Seeron, 35, pada 23 Januari 2010.
Bagaimanapun rumah tangga yang dibina tidak bertahan lama apabila mereka bercerai pada 13 Ogos 2016. – HIBGLAM