‘Wanita kena berdikari, sampai bila nak hidup terseksa’

PERNAH menyaksikan keluarga terdekat menjadi mangsa keganasan rumah tangga, pelakon Nadia Brian terkesan dengan nasib yang menimpa model dan pelakon Zahnita Wilson.

Menurut Nadia atau nama sebenarnya, Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 33, sehingga ke hari ini dia masih tidak dapat melupakan detik hitam yang disaksikan sendiri. Disebabkan itu, Nadia sangat memahami dan menyokong wanita untuk berdikari.

“Orang terdekat dengan saya pernah menjadi mangsa keganasan rumah tangga, jadi saya rasa menjadi berdikari adalah satu perkara yang harus dilakukan oleh setiap wanita.

Kita sebagai wanita harus ada kekuatan sendiri sebab kita tak boleh bergantung kepada sesiapa. Sebab itu saya suka bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri,” ujar Nadia.

Oleh itu, apabila membaca kisah Zahnita yang akhirnya dapat keluar daripada perkahwinan toksik selama 20 tahun, sebagai wanita dia berasa bangga.

Saya harap sesiapa saja yang berada dalam situasi yang sama jangan rasa tiada jalan keluar. Sampai bila hendak diseksa? Saya rasa ramai wanita di luar sana masih rasa takut, jadi ambil perkara ini sebagai satu semangat dan saya yakin ada yang boleh membantu,” katanya.

Sungguhpun begitu, Nadia berkata dia tidaklah takut untuk kembali berkahwin.

Dalam fasa saya sekarang, saya tidaklah fikir pasal takut berkahwin tetapi tidak dinafikan saya turut terkesan dengan berita semua ini. Saya kalau boleh tidak mahu perkara ini terjadi pada saya.

“Sudah tentu saya perlu berhati-hati tapi bukan saya saja, semua wanita juga perlu lebih berhati-hati. Sebab semasa bercinta semua nampak baik dan okey, tetapi sebaliknya berlaku selepas berkahwin,” ujarnya yang ditemui pada sidang media Teater Samaya – Puteri Laut Selatan di Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini.

Teater berkenaan akan dipentaskan pada 27 hingga 29 Disember depan bertempat di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka.

Teater berdasarkan legenda atau mitos Jawa, Nyi Roro Kidul ini akan dilakonkan Nadia Brian, Khenobu, Zairi Aziz, Adilla Shaffi, Rayna Hezza, Yusuf Amin, Daniel Emirrul, Dinie Hisam dan ramai lagi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok