LAMA menyepi dari radar hiburan tanah air, nama penyanyi Luqman Faiz tiba-tiba kembali memanas menjadi perbualan netizen.
Kemunculan semulanya bukan kerana lagu baharu, tetapi gara-gara kontroversi ‘panas’ yang mencetuskan pelbagai spekulasi liar dalam media sosial.
Segalanya bermula selepas pemilik nama sebenar Luqman Abd. Halim Faiz itu memuat naik video dirinya bersenam di sebuah gimnasium.
Tindakan memuat naik video berkenaan tanpa menyemak dengan teliti mengundang spekulasi liar, termasuk tuduhan tidak berasas mengenai orientasi seksualnya.
Hantaran tersebut mengundang komen nakal kerana didakwa mempunyai elemen sensual yang kononnya sengaja menonjolkan bahagian tubuh tertentu.
Lebih parah, dakwaan meleret sehingga ada yang menuduh dia menyukai kaum sejenis.
Enggan membiarkan spekulasi berlanjutan, jejaka berusia 24 tahun itu mengakui tindakannya membuat teguran dalam media sosial supaya netizen menghentikan semua spekulasi nakal yang boleh mencemarkan nama baik.
“Teguran ini dibuat kerana saya nak perbetulkan tanggapan menuduh saya bernafsu songsang hanya kerana mereka ternampak ada bahagian badan yang terjojol dalam hantaran saya.
Gara-gara entri itu, saya dikatakan menyukai kaum sejenis dan perkara ini hangat diperdebatkan dalam platform X.
“Susulan itu, saya diganggu dengan banyak mesej lucah yang dihantar menerusi media sosial. Bila baca semua mesej, saya rasa seperti dinodai secara virtual. Saya nak tegaskan di sini, saya bukan songsang, saya lelaki normal,” katanya kepada Pose.
Pelantun lagu Kepuraanmu itu bagaimanapun tidak menyalahkan netizen sepenuhnya dan mengakui kecuaiannya menjadi punca utama isu tersebut digembar-gemburkan.
“Salah saya juga sebab tak periksa terlebih dahulu video dan foto yang dimuat naik. Masa saya muat naik hantaran ini, keadaan di gimnasium agak gelap. Saya tak perasan ada bahagian terjojol.
Tiada niat nak ‘belanja’ pun. Saya hanya sedar hantaran ini hangat diperdebatkan dalam platform X selepas dua jam.
“Mujur keluarga memahami. Cuma, ibu saya membebel kerana tidak berhati-hati sebelum membuat perkongsian,” ujarnya sedikit terkilan.
Selepas membuat penjelasan dan teguran terbuka dalam media sosial tempoh hari, Luqman bersyukur situasi kembali reda malah mesej-mesej tidak senonoh yang menghantui dirinya sebelum ini juga tidak lagi muncul.
“Mungkin mereka sudah tahu perkara sebenar. Saya harap mereka yang mengalami masalah sama jangan takut untuk bersuara.
“Tapi, luahan saya bukanlah bermakna saya anti golongan ‘gay’ kerana saya berkawan dengan semua orang. Saya tak suka menghakimi sesiapa.
Apa yang penting, hentikan fitnah dan jangan jadikan media sosial sebagai tempat menyebar spekulasi tanpa asas,” luahnya.
Berbicara tentang perkembangan seni, Luqman kini sibuk merencana projek lagu duet dan solo selain sedang rancak berlatih bagi konsert anjuran Persatuan Komposisi Muzik (MCS) dengan kerjasama Persatuan Perniagaan Muzik (MBS).
Berlangsung di Dewan Konsert Seri Budiman, UiTM pada 10 dan 11 Januari tahun depan, konsert yang menampilkan karya pelajar jurusan muzik tersebut turut menampilkan Aisha Retno, Danial Chuer, Elica Paujin dan Daniesh Suffian.