ISTERI kepada pelakon dan pelawak Along Cham, Afreena Suhaimi mengakui keadaan emosinya agak tertekan selain mengenang nasib suaminya yang kini didakwa dengan pertuduhan dadah.
Afreena bagaimanapun mahu terus kuat dan melawan kepenatan yang dirasai demi memperjuangkan nasib suaminya itu
“Sudah tentu saya akan penat dengan situasi yang berlaku ketika ini tetapi saya perlu kuat untuk anak-anak. Macam mana sekali pun, saya perlu menjalani situasi ini.” katanya ketika ditemui selepas prosiding kes.
Dalam pada itu, Afreena memberitahu walau apa jua keadaan sekalipun dia tetap mempertahankan suaminya itu.
“Saya nak orang tahu, Along Cham atau Muhammad Nizamudin Ahmad tetap suami saya. Saya akan sentiasa dengannya dalam apa jua keadaan. Saya akan berjuang dengan dia dan akan mempertahankan hak dia.Tiada isteri yang hendak lihat suami dia jatuh dan dalam kesakitan.
“Biy (Along), saya tahu perasaan kamu saat berada di dalam. Bertahanlah, saya berjanji awak akan keluar dan kita akan hidup bahagia bersama,” kata Afreena lagi.
Sementara itu, peguam Mohd. Fadly Hashim yang mewakili Along Cham menyifatkan anak guamnya itu sebagai individu yang kuat.
“Dia seorang yang kuat dan saya akan cuba sedaya upaya untuk bantu dia kendalikan kes ini.
Terdahulu Along Cham atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki dadah jenis Kanabis lebih 60gram minggu lalu.
Along Cham atau sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad, 41, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman dan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan. – HIBGLAM