Saal Haerid Pempengaruh Media Sosial Terbaik Asia 2024

REZEKI terpijak buat pempengaruh media sosial terkenal Indonesia, Saal Haerid yang berjaya memenangi anugerah utama All Asia Influencers Award (ASIA) 2024.

Kemenangan tersebut menyaksikan Saal membawa pulang hadiah wang tunai bernilai AS$10,000, trofi eksklusif, dan pakej percutian mewah ke Dubai.

Tempat kedua pula dimenangi Abyan Calief yang juga dari Indonesia membawa pula trofi, wang tunai AS5,000 dan percutian ke Dubai manakala pempengaruh Malaysia, Imranul Effendi membawa pulang trofi, wang tunai AS3,000 dan percutian ke Dubai.

Selain anugerah utama, Saal turut meraih kategori Kategori Ciptaan Kandungan Terbaik yang melayakkannya membawa pulang trofi dan wang tunai AS1,000.

Manakala bagi kategori Suntingan Terbaik dimenangi oleh Herony dari Filipina. Karya Ulasan Makanan Terbaik pula menjadi milik pempengaruh Indonesia, Abyan Calief, yang mendapat pengiktirafan atas kreativiti dan keunikan kandungannya.

Kategori Penyampai Cerita Terbaik menyaksikan kemenangan Berliana dari Indonesia, manakala anugerah Pilihan Orang Ramai yang menjadi antara kategori paling dinantikan jatuh kepada Ananda Natasha, juga dari Malaysia, hasil undian peminat dan pengikut.

Acara tersebut dihoskan oleh personaliti popular, Dina Nadzir dan Asyraf Nasir berlangsung pada malam gala ASIA2024 yang berlangsung penuh gilang-gemilang di Hotel Flamingo di sini, Sabtu lalu.

Menurut Pengerusi ASIA2024, Datuk Abd Rahman Soltan berkata, acara tersebut mencatat sejarah tersendiri apabila meraih 254 juta tontonan kandungan di media sosial menggunakan tanda pagar AllStarInfluencerAward2024 sepanjang program berlangsung.

Dalam masa sama, dia memberitahu bahawa konsep tahun ini juga memberi fokus kepada Melaka sebagai destinasi utama, di mana peserta berpeluang mempelajari kebudayaan perkahwinan Melayu di Melaka.

“Juri yang terlibat sangat arif dalam menentukan kaedah pemilihan pemenang terbaik, dan pihak pengurusan tidak campur tangan atau bersikap pilih kasih. Sejak awal lagi, kami tekankan bahawa pemarkahan dilakukan secara adil,” katanya.

Acara gilang gemilang tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Dr. Yasmin Mahmood dan diserikan dengan kehadiran lebih 60 pempengaruh media sosial dari Jepun, Taiwan, China, Vietnam, Indonesia, Thailand, Korea Selatan dan Filipina.

Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Malam gala ASIA2024 turut diserikan dengan kehadiran lebih 60 pempengaruh media sosial dari sembilan negara, termasuk Malaysia, Vietnam, Indonesia, Thailand, Taiwan, China, Jepun, Korea Selatan dan Filipina.

Sebanyak 13 kategori anugerah disampaikan, memberi pengiktirafan kepada individu dan kumpulan yang telah memberi impak besar dalam dunia media sosial di peringkat Asia. -HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok