JIKA berbicara tentang insan atau bidang yang membawa nama Malaysia ke persada dunia, industri seni tanah air antara wadah yang mampu mengangkat martabat serta mengharumkan nama negara.
Sejarah industri seni tanah air sendiri menyaksikan lahirnya tokoh yang bukan sekadar mencipta nama, malah menjadi lambang kebanggaan sebuah bangsa seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Allahyarham Sudirman Haji Arshad dan Tan Sri Michelle Yeoh yang mengukir kejayaan di pentas Hollywood.
Mereka tak sekadar membawa nama sendiri, sebaliknya turut membawa bersama identiti, budaya dan maruah Malaysia setiap kali melangkah ke pentas antarabangsa.
Sempena sambutan bulan sambutan Hari Malaysia yang diraikan pada 16 September, HibGlam menyenaraikan anak seni ternama Malaysia yang bukan sahaja berjaya menjadi inspirasi kepada generasi baharu bahkan mampu menjadi ‘duta kecil’ Malaysia di pentas global.
Siti Nurhaliza

SATU nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi, memulakan kerjaya seni sejak lebih tiga dekad lalu, anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu kini antara ikon Malaysia.
Bukan sahaja di tanah air sendiri, nama dan karya-karya Datuk Seri Siti Nurhaliza terus menjadi siulan ramai di negara-negara Asia terutama Indonesia serta Singapura.
Memegang rekod sebagai artis Malaysia pertama yang mengadakan konsert solo di Royal Albert Hall, London pada 2005, beliau juga pernah membuat persembahan pada majlis penutup Sukan Komanwel 1998 di hadapan Ratu Elizabeth II.
Pada tahun 2022 pula, Siti berada di kedudukan ke-27 dalam senarai Top 100 Most Awarded Musicians of All-Time dengan jumlah anugerah yang dimenanginya sebanyak 329, sekali gus mengetepikan beberapa penyanyi terkenal lain, antaranya Katy Perry ditangga ke-31 dan Celine Dion (33).
Paling membanggakan, pada November tahun lalu, Siti diwatikahkan sebagai Biduanita Negara yang merupakan satu penghormatan tertinggi dalam kerjaya seninya.
Gelaran tersebut meletakannya sebaris dengan penerima terdahulu iaitu Allahyarham Puan Sri Saloma (1978), Allahyarham Datuk Sharifah Aini (2006) dan Allahyarham Tan Sri SM Salim (2013).
Bront Palarae

Perjalanan seni hampir tiga dekad merentasi Indonesia, Thailand dan beberapa pasaran antarabangsa, aktor Bront Palarae membuktikan kehebatan seorang penggiat seni tidak terkurung pada satu bahasa, karakter atau pasaran.
Di pentas antarabangsa, dia membawa pulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik pada ASEAN International Film Festival & Awards (AIFFA) 2015 menerusi Terbaik Dari Langit.
Bront turut meraih trofi Persembahan Lelaki Utama Terbaik pada Asian Television Awards 2021 menerusi The Bridge, sebelum mencipta satu lagi sejarah apabila dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Anugerah Baan Nang Klang Lakorn 2025 di Thailand menerusi The Cursed Land.
Menurut Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin, setiap kali karya dan kerja seninya diiktiraf pada ada makna besar berbunga di jiwa.
“Memang rasa bangga kerana nama Malaysia ikut dibawa bersama. Saya sedar identiti kita bukan sesuatu yang perlu ditinggalkan untuk diterima dunia. Kadang-kadang, identiti itulah membuatkan orang mahu mengenali kita, negara kita,” ujarnya.
Tiara Jacquelina

MENGANGKAT karya ikonik Puteri Gunung Ledang (PGL) dari sebuah filem epik ke pentas teater, itu usaha cemerlang yang dilakukan Puan Sri Tiara Jacquelina sejak lebih dua dekad lalu.
Usaha mengangkat karya agung itu berjaya menggegar perhatian khalayak yang sehingga hari ini pementasan PGL sentiasa dinanti-nantikan ramai.
Akui Tiara, hatinya tersentuh setiap kali cerita mengenai PGL menjadi bualan dan berjaya menambat hati khalayak.
“Sangat bangga dan paling saya suka bila dengar ‘karya ini orang Malaysia yang hasilkan’.
“Naskhah PGL datang daripada cerita, budaya dan bakat orang kita sekaligus membuktikan bahawa karya Malaysia sebenarnya mampu pergi jauh.
“Saya mahu tengok lebih banyak karya Malaysia sampai kepada penonton di seluruh dunia dan mahu buka jalan serta ruang untuk generasi muda berkarya,” katanya yang menjadi penerbit Malaysia pertama membuka laluan hendak menyertai anugerah tertinggi dunia, Oscars.
Yuna

Yuna atau nama sebenar Yunalis Mat Zara’ai melakar sejarah tersendiri apabilamenembusi pasaran muzik Amerika Syarikat (AS) sekitar tahun 2011 dan mengikat kontrak dengan label rakaman Fader Label di New York.
Mula pupular dengan lagu Dan Sebenarnya, kegigihan Yuna melebarkan sayap di AS mula membuahkan hasil selepas meluncurkan single berjudul Crush, duet bersama penyanyi ternama, Usher.
Kejayaan tersebut sekali gus membuktikan Yuna yang mula dikenali sebagai penyanyi indie mampu membanggakan dunia seni tanah air di peringkat antarabangsa. Isteri kepada pengarah, Adam Sinclair itu bahkan menjadi artis Malaysia pertama tersenarai membuat persembahan di festival muzik gergasi dunia, Coachella pada tahun 2014 dan 2022.
Kejayaannya tidak terhenti di situ, penyanyi berusia 40 tahun itu juga menjadi diumumkan sebagai artis Malaysia pertama meraih satu bilion strim dalam platform Spotify pada Mei lalu.
Shila Amzah

BUKAN sahaja di tanah air, penyanyi Shila Amzah terus kukuh dan mekar di negara Tembok Besar China sejak lapan tahun lalu.
Kongsi pelantun lagu Masih Aku Cinta itu, rasa bangga membawa nama negara akan menebal dalam dirinya setiap kali membuat persembahan di pentas antarabangsa.
“Setiap kali saya naik ke atas pentas, diperkenalkan sebagai artis dari Malaysia, rasa sangat bangga dan mahu lakukan sehabis baik demi negara.
“Syukur alhamdulillah, selepas 14 tahun saya masih diterima dan mendapat tempat hati peminat di China,” ujarnya yang memulakan kerjaya seni seawal umur semblan tahun.
Sehingga kini, anak penyanyi ND Lala itu masih berulang-alik mengadakan persembahan di China bahkan tidak menolak kemungkinan besar akan berhijrah ke negara itu bersama suami dan dua anaknya pada bagi melebarkan lagi sayapnya di sana.
Siti Saleha

Tidak kurang hebat, Siti Saleha terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara aktres utama paling berpengaruh dalam industri drama tempatan.
Popularitinya turut diperkukuh deretan pengiktirafan di pentas antarabangsa apabila memenangi trofi Outstanding Asian Star (Malaysia) pada Seoul International Drama Awards 2024 di Korea Selatan menerusi lakonannya dalam siri SeOfis.
Pada 2025, Siti Saleha sekali lagi menerima pengiktirafan apabila dianugerahkan BrandLaureate Personality Award di Singapura.
Ujar Saleha, perjalanan membina nama serta jenama seni sendiri memerlukan masa panjang, apatah lagi untuk meyakinkan khalayak bahawa seorang pelakon mampu berdiri atas kekuatan bakat dan kredibiliti sendiri.
“Lama saya mengambil masa untuk mengukuhkan jenama seni dan menjual bakat sendiri. Alhamdulillah, selepas melalui perjalanan panjang, saya akhirnya dihargai di pentas antarabangsa.
“Paling manis apabila ada rakyat Malaysia, termasuk mereka yang tidak saya kenali, datang mengucapkan tahniah. Mereka beritahu, akhirnya ada berita baik tentang industri seni Malaysia,” katanya.
Anna Jobling

MUNGKIN bagi segelintir pihak, namanya masih hijau tetapi hakikatnya Anna Jobling sudah membintangi beberapa filem di Indonesia bersama barisan pelakon ternama di sana.
Merupakan antara selebriti muda yang berjaya menembusi pasaran Indonesia, dia mengakui untuk meraih semua itu menuntut pengorbanan besar terutama untuk membawa bakat Malaysia ke negara lain.
“Saya sangat bangga dapat bawa nama Malaysia ke Indonesia sebab bukan senang nak tembus pasaran di sana.
“Semua ini hasil kerja keras, penat lelah ulang-alik dua negara, sangat sukar tetapi syukur hasilnya berbaloi.
“Harap usaha ini membuatkan lebih ramai anak seni tempatan khususnya generasi muda bersemangat membawa nama Malaysia ke industri seni negara-negara Asia lain,” kata pelakon berusia 26 tahun itu.
Dia juga pernah menjulang trofi Outstanding Asian Star pada Seoul International Drama Awards (SDA) 2025 di menerusi drama Hai Cinta, Dengarkanlah!,
Ernie Zakri

Sementara itu, penyanyi Ernie Zakri pula membuktikan suara dari Malaysia mampu menyeberangi sempadan tanpa perlu kehilangan akar seni sendiri.
Lagu Masing-Masing, hasil kolaborasi bersama komposer Indonesia, Ade Govinda, menjadi antara titik penting dalam perjalanan seninya apabila menduduki tangga pertama carta Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) selama 27 minggu berturut-turut.
Lebih mengagumkan, lagu berkenaan turut menduduki carta tertinggi serentak di Malaysia, Singapura dan Indonesia, sekali gus mengukuhkan kedudukan Ernie sebagai antara ikon muzik Nusantara yang berjaya merapatkan jurang pasaran antara Malaysia dan Indonesia.
Kemuncak perjalanan antarabangsa Ernie hadir apabila wajahnya terpampang di papan iklan digital di New York Times Square, Amerika Syarikat selepas dipilih sebagai Duta EQUAL Spotify sebanyak dua kali, masing-masing pada Mei 2023 dan Oktober 2024.
Mengulas pencapaian tersebut, Ernie mengakui perasaan bangga hadir bersama tanggungjawab untuk terus menghasilkan karya lebih berkualiti.
“Sudah hampir 15 tahun saya berada dalam industri. Sudah tentu saya berasa sangat bangga kerana mungkin sedikit sebanyak sumbangan saya kepada negara memberi semangat
Irfan Zaini

‘MENDUNIA’ di persada perfileman India, Irfan Zaini mengakui beraksi di luar negara memikul tugas yang berat untuk membawa nama Malaysia.
Pemilik nama lengkap Muhammad Irfan Mohamed Zaini, 31, mengakui sentiasa berhati-hati dalam segala hal agar tidak mencalar imej negara.
“Saya pikul tanggungjawab besar apabila bawa nama Malaysia ke India. Saya selalu letakkan negara dalam kepala sebelum berlakon supaya nak pastikan tiada kesalahan.
“Apa-apa pun orang akan berbalik kepada nama Malaysia,” katanya.
Pernah bekerjasama dengan pelakon terkenal, C. Joseph Vijay, Irfan menganggap itulah peluang emas untuk membina nama ke seluruh dunia.
“Boleh dikatakan, itu antara naskhah paling mahal di India. Bila berlakon dengan Vijay, mampu mengangkat nama sendiri ke seluruh dunia, bukan di Malaysia atau India tapi di negara lain seperti United Kindom, AS dan Kanada. Orang yang tonton filem Jana Nayagan mereka rasa bangga budak Malaysia berlakon bersama pelakon-pelakon antarabangsa,” katanya. – HIBGLAM
