Hampir empat dekad menghambakan diri dalam bidang seni, penyanyi Liza Aziz tidak pernah berkecil hati atau berputus asa meskipun kehadirannya dalam industri hiburan dikatakan kurang menyerlah.
Menurut Liza atau nama lengkapnya Norliza Abdul Aziz, 61, perkara itu mungkin terjadi disebabkan peminat lebih memandang rupa paras berbanding bakat.
“Saya tak nafikan peminat dari dulu memang memandang paras rupa penyanyi sebagai keutamaan.
“Bakat jatuh nombor dua, tetapi tidak mengapa saya gembira kerana berjaya menghasilkan dua buah album biarpun kurang diterima,” katanya kepada HibGlam.
Bercakap mengenai perihal dilabel sebagai penyanyi ‘underrated’, Liza berkata dia tidak pernah terasa hati.
“Isu underrated itu biasa, dulu peminat pun memandang rupa, bakat itu diketepikan. Bagi saya tak kisahlah gelaran underated atau tidak tetapi orang tetap kenal suara saya.
“Daripada lagu iklan, penyanyi latar, semua artis Malaysia saya pernah menjadi penyanyi latar. Pada saya tidak menjadi masalah,” ujarnya.
Pembabitannya dalam GV11 membuka mata ramai peminat yang mula menghargai bakat dimiliki oleh adik kepada Azlina Aziz itu. Malah, sudah dua minggu berturut-turut dia mendapat kedudukan di tempat pertama. – HIBGLAM