‘Dulu berparti itu biasa tapi rasa ada sesuatu yang hilang’

MENYIFATKAN perubahan diri perjalanan bermakna, pelakon Nora Danish mengakui bersyukur apabila diberi hidayah untuk berubah ke arah kebaikan dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Ujar Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd. Danish Hanif, 42 , langkah penghijrahan tersebut bermula apabila dia memohon kepada Allah dalam setiap doa dan sujudnya agar diberikan kekuatan untuk berubah serta dikelilingi individu positif.

“Saya percaya perubahan ini adalah untuk Allah. Dia yang gerakkan hati saya. Kawan-kawan juga memainkan peranan penting terutama Betty Rahmat yang tidak pernah jemu mengajak saya ke majlis ilmu meskipun saya rasa sangat jahil ketika itu.

Selain itu. Saya rasa masalah yang dihadapi ketika itu tidaklah sebesar mana seperti apa yang orang lain hadapi. Macam krisis rumah tangga, hanyalah kecil sahaja.

“Namun masih saya ingat, masa itu diri betul-betul nak sangat berubah. Satu tahap, masuk usia 40 tahun, saya dah mula tak suka dengan kehidupan lama,” katanya sewaktu menyertai sesi usrah dan perkongsian ilmu anjuran Betty Rahmat.

Tambah pelakon filem Sayu Yang Syukur itu, dorongan untuk berubah semakin kuat apabila dia mula merasakan wujudnya kekosongan dalam hati dan jiwa.

Sebelum ini, saya fikir kehidupan lama itu adalah satu-satunya pilihan. Berparti dan pelbagai aktiviti lain terasa biasa tetapi dalam hati, ada sesuatu yang hilang.

“Saya mula membaca satu zikir yang mengajar tentang mencintai Allah. Setiap hari saya baca, solat, dan berdoa sambil menangis meminta kepada-Nya. Alhamdulillah, perlahan-lahan Allah bukakan pintu hati saya,” kata Nora.

Paling penting kata Nora, perubahan itu turut disusuli dengan kekuatan untuk menjauhkan diri daripada rakan-rakan  yang membawa pengaruh negatif.

Menerusi usrah tersebut, ibu kepada dua cahaya mata itu sempat menitipkan pesanan buat mereka yang ingin berubah ke arah kebaikan.

Katanya, keinginan tersebut harus disertakan dengan kejujuran dalam hati.

Kita perlu jujur untuk mendekatkan diri kepada Allah dan Al-Quran.

“Persekitaran dan sokongan daripada rakan-rakan yang baik juga memainkan peranan besar dalam proses ini,” ujarnya.

Sesi usrah anjuran Betty itu turut disiarkan secara langsung melalui akaun TikTok miliknya, sekali gus mendapat perhatian ramai peminat yang terinspirasi dengan kisah penghijrahan Nora.

Dengan penghijrahan itu, Nora berharap terus istiqamah menjalani kehidupan lebih bermakna selain memberi inspirasi kepada mereka yang mahu berubah ke jalan Allah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok