INGIN menikmati memori indah seperti dahulu, keluarga penerbit filem Datuk Yusof Haslam merancang bercuti di Eropah tahun hadapan.
Sutradara Syafiq Yusof berkata, rombongan ke beberapa destinasi itu juga bakal disertai abangnya, Syamsul selepas kali terakhir famili mereka mengambil angin di London, England beberapa tahun lalu.
“Ikutkan memang kami sekeluarga sudah lama tidak bercuti seisi keluarga sama ada dalam mahupun luar negara kerana beberapa faktor.
“Rasanya makan angin terakhir yang kami pergi beramai-ramai adalah ke Pulau Pinang. Itu pun sebelum fasa Covid-19.
“Kalau ke luar negara pula kali terakhir kami bercuti bersama ke London. Itu pun memang sudah lama dahulu. Kali ini Syamsul akan sertai kami,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Festival Filem Malaysia ke 33 (FFM33) di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), malam tadi.
Menurut sutradara Sheriff: Narko Integriti itu, seperti biasa perancang aktiviti keluarga terutama sesi santai adalah ibu mereka, Datin Patimah Ismail.
“Orang yang paling teruja semestinya ibu. Dia ‘mastermind’ setiap aktiviti keluarga. Disebabkan tahu saya dan abang sibuk dengan ‘shooting’ tahun ini jadi percutian itu dibawa ke tahun depan.
Setiap tahun ibu memang akan cari satu masa kumpul semua ahli keluarga untuk bercuti, angkat beg sama-sama macam keluarga biasa lain,” ujarnya.
Pada masa sama, Syafiq mengakui gembira melihat hubungan Syamsul dengan orang tua mereka kembali jernih selepas beberapa tahun dingin.
Baginya, rajuk yang berlaku adalah normal bagi setiap keluarga dan akhirnya akan berbaik semula.
Bahkan finalis kategori Pengarah Terbaik menerusi filem Sheriff: Narko Integriti itu mengakui Syamsul juga semakin kerap pulang ke rumah bagi meluangkan masa dengan keluarga.
“Alhamdulillah hubungan abang dengan ayah dan ibu sangat baik sekarang. Saya harapkan yang terbaik saja.
Bagi saya biasalah kalau gaduh-gaduh dalam keluarga. Lama-kelamaan mesti akan berbaik, itu lumrah dan saya yakin tiada keluarga yang tidak merajuk.
“Sebenarnya apabila kita berbaik selepas bertelingkah, kita akan lebih memahami antara satu sama lain,” katanya.
Ditanya bila kali terakhir bertemu dengan abangnya, Syafiq berkata Syamsul ada pulang ke rumah menikmati masakan ibunya.
“Saya dah banyak kali jumpa abang, dia ada balik ke rumah untuk makan-makan bersama keluarga.
Ini adalah satu pengakhiran yang sangat baik dan saya harap dapat bertahan untuk selama-lamanya,” ulasnya.
Terdahulu, Syamsul sudah lama tidak pulang ke rumah ibu bapanya selepas berlakunya kemelut rumah tangga dengan Puteri Sarah yang kini bekas isterinya.
Pernikahan dengan pelakon Ira Kaza disusuli perpisahan dengan Puteri Sarah semakin menjarakkan hubungan pengarah terbabit bersama keluarganya.
Begitupun, seminggu selepas bercerai dengan Ira 5 September lalu, Syamsul akhirnya pulang ke rumah ibu bapanya sekali gus merapatan kembali hubungan mereka. – KOSMO! ONLINE