‘Malaysia ada undang-undang, dapatkan perlembagaan bukan sekelip mata’

PELAKON Nadia Brian meluahkan rasa kesal apabila sebuah pementasan didakwa memperlekehkan Perlembagaan Persekutuan, selain menyentuh sensitiviti membabitkan institusi Raja, negara Malaysia dan Rukun Negara.

Menurut Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 35, isu berkaitan maruah negara dan perlembagaan tidak seharusnya dijadikan bahan lawak atau dipandang remeh memandangkan perkara tersebut melibatkan sejarah perjuangan yang besar.

“Sejujurnya saya rasa walaupun sudah lama video itu, tetapi saya sangat sedih melihat kerana benda yang mustahak kita sebagai rakyat Malaysia dipermainkan sebegitu.

“Di Malaysia khususnya kita ada undang-undang. Nak dapatkan perlembangaan itu bukannya sekelip mata.

“Pelbagai peristiwa yang berlaku, pertumpahan darah, air mata dan keringat untuk perjuangan tapi kita buat hanya suka-suka atau cakap kosong,” katanya kepada Kosmo! Online semasa sidang media Karok Dapur, di Banglo 289, semalam.

Tambah pelakon filem Blok 404 itu, tindakan mempermainkan sistem beraja tersebut wajar dijadikan pengajaran agar garis panduan yang lebih ketat ditekankan dalam karya seni.

Saya sangat terkesan sebagai rakyat Malaysia, saya rasa itu agak keterlaluan dan mungkin patut mendapat satu pengajaran untuk kita, kena ada garis panduan.

“Bila permainkan sistem diraja, harus dihentikan. Mungkin kalau nak bercakap, ada saluran dan bahasa yang betul atau penekanan yang berlainan daripada terang-terangan mengejek sistem perlembagaan negara sendiri,” jelasnya.

Dalam masa sama, Nadia turut berharap perkara tersebut tidak berulang lagi pada masa akan datang.

“Kita lahir sini, kita sayang negara kan? Jadi saya harap benda ini tidak berlaku lagi, harus diambil serius.

“Saya sendiri pun insya-Allah tengah buat produksi sendiri, NB Production. Benda-benda sensitif ini kadang-kadang orang tak ambil endah atau tidak peka.

“Jadi, saya harap NB Production akan memberi manfaat yang bagus kepada industri. Nak elakkan benda yang saya rasa tak sedap sangat,” jelasnya.

Sebelum ini, sebuah video pementasan yang mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi raja, negara Malaysia serta Rukun Negara tular dalam media.

Video berkenaan menimbulkan kemarahan ramai pihak yang mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan segera dan tindakan tegas diambil terhadap individu terlibat. –HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok