SEPERTI bertukar watak, pelakon Diana Danielle memilih untuk mengunci mulut daripada memberi sebarang komen selepas selesai urusan memfailkan perceraian terhadap suaminya, Farid Kamil di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini.
Reaksi Diana atau nama penuhnya, Diana Danielle Danny Beeson, 33, dilihat lebih dingin berbanding ketika tiba di mahkamah setengah jam sebelum itu.
Diana yang tidak memberi sebarang respons meski diasak pertanyaan daripada pengamal media hanya berjalan tenang ke arah kenderaannya di pekarangan mahkamah.
Hari ini, mahkamah turut menetapkan 20 November depan sebagai tarikh sebutan pertama bagi permohonan rujuk dan perceraian.
Sementara itu, peguam syarie mewakili Diana iaitu Datuk Akberdin Abdul Kadir berkata, Diana memfailkan cerai atas punca tiada persefahaman dan shiqaq (perbalahan) berpanjangan.
Sebelum itu, ketika tiba di mahkamah, Diana dalam busana serba hitam hanya mengharapkan semua urusan perceraian berjalan dengan baik selain berpendapat tiada keperluan melalui proses mahkamah yang berpanjangan selepas ini.
Terdahulu, Diana mengejutkan ramai apabila mengumumkan akan memfailkan cerai buat kali kedua terhadap Farid dalam satu hantaran Instagramnya pada 28 Oktober lalu.
Bintang filem Imaginur itu turut memberi peringatan kepada Farid agar tidak memujuknya lagi selain jemu dengan janji yang tidak ditepati sebelum ini.
Manakala Farid pula memaklumkan masih menyayangi Diana dan anak-anak selain akan terus mempertahankan rumah tangganya.
Pada 10 Mac tahun lalu, Diana pernah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Farid dan Diana kemudiannya sah bercerai talak satu menerusi Google Meet pada 10 Ogos tahun lalu namun kembali rujuk sebulan kemudian.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora yang kini berusia 9 tahun. — HIBGLAM
View this post on Instagram