TIDAK dinafikan populariti aktor Fattah Amin meroket selepas bercerai dengan pelakon Nur Fazura. Bahkan dia diberikan jawatan tinggi dalam sebuah syarikat jenama makanan popular.
Melihat ledakan populariti mendadak itu, ada peminat menyamakannya dengan gelombang Tsumawi yang pernah melanda industri hiburan.
Waktu itu, wajah Mawi ada di mana-mana. Perkara sama berlaku kepada Fattah apabila menjadi rebutan pelbagai jenama.
Fattah juga dipilih untuk muncul dalam video muzik lagu terbaharu Aina Abdul.
Senario itu membuatkan peminat tertanya-tanya sampai bila ‘gelombang Fattah Amin’ dapat bertahan. Malah, ada juga mendakwa populariti Fattah banyak terkait dengan wanita.
Sebelum menjalin hubungan dengan Fazura, nama Fattah menjadi sorotan ramai apabila bergandingan dengan Neelofa dalam drama Suri Hati Mr Pilot.
Boleh dikatakan pengaruh dua pelakon wanita ini memberi impak besar kepada kerjayanya. Diva bukan menuduh pelakon berusia 32 tahun itu bergantung harap kepada orang lain untuk popular.
Apa yang diperkatakan hanya luahan pandangan peminat. Apa-apa pun Diva mendoakan semoga kerjaya Fattah terus sukses dan sentiasa tampil dengan karya lakonan yang mantap.
Diva: Dahulu ramai kata Akademi Fantasia melahirkan bintang mi segera tetapi sekarang lihat di mana letaknya semua penyanyi itu.