Masuk industri hati kena keras – Adam Lee

Susulan isu buli di set penggambaran, pelakon Adam Lee mengakui pernah berdepan cabaran dalam dunia seni namun menganggap perkara tersebut sebagai proses pembelajaran.

Bagaimanapun, Adam atau nama lengkapnya Muhamad Arif Adam Mohamed Fadlee, 30, enggan melabel pendatang baharu sebagai lembik apabila menyuarakan dibuli di set penggambaran.

“Saya tidak mahu cakap saya pelakon baharu atau lama cuma, boleh katakan saya masuk dalam bidang ini separuh zaman surat khabar dan media sosial.

Masa dulu masuk industri hati kena keras sebab saya pernah kena hempuk monitor dengan jurukamera selain dimaki.

“Saya memang dah diajar untuk menjadi keras tetapi tak nak labelkan orang baharu sebagai manja atau lembik sebab mereka tidak rasa apa saya rasa,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang akhbar teater purbawara muzikal, Sulalatus Salatin: Sebuah Kemaharajaan Maritim semalam.

Dalam masa sama, suami kepada pelakon Sweet Qismina itu turut menasihatkan pelakon baharu untuk tetapkan niat sebaik memasuki industri seni walau apa pun terjadi.

Fikir nawaitu (niat) masuk industri sebab apa. Yang penting pilih jalan benar, jumpa orang betul dan bergaul dengan kelompok yang bersesuaian.

“Benda yang sangat penting adalah jadi padi. Tidak kisah baru masuk industri buat satu atau dua kerja boleh meletup, semua orang suka sekali pun.

“Jangan bandingkan. Isteri saya marah kalau saya bandingkan diri saya dengannya sebab dia sudah berlakon sejak usia sembilan tahun,” ujarnya.

Dalam masa sama, Adam lebih selesa mengelak mencari masalah dengan pendatang baharu yang ‘tunjuk perangai’ kerana enggan ambil peduli.

Kalau ada budak baru yang poyo dengan saya, tak boleh buat apa. Saya jauhkan diri, itu cara saya.

“Kalau boleh berkawan, kita kawan daripada buat musuh. Banyak lagi perkara lain yang saya nak fikir,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, seorang pelakon baharu mendedahkan pernah dibuli kru produksi selain menjadi saksi rakannya dibuli pelakon senior.

Susulan pendedahan dilakukan, ramai pelakon tampil menceritakan pengalaman sama pernah dibuli di set penggambaran.

Namun, ada juga segelintir selebriti menafikan perkara tersebut wujud dalam produksi tempatan dan menganggap diherdik dan dimaki adalah asam garam dunia seni. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok