PELAKON Mila Mohsin menganggap keputusan untuk melangkah ke dalam industri seni pada usia agak lewat sebagai satu ketetapan dan perjalanan yang paling sesuai.
Menurut Mila atau nama penuhnya Hani Karmila Hani Mohsin, 29, dia bersyukur dengan peluang yang diperolehi ketika ini kerana lebih bersedia dan matang untuk berdepan dengan cabaran dunia hiburan.
“Sebenarnya ada banyak sebab mengapa saya memilih untuk melangkah ke dalam industri ini pada usia yang agak lewat. Ada perkara yang berada di bawah kawalan saya, tetapi kebanyakannya tidak.
“Namun begitu, saya merasakan ini adalah waktu yang sangat tepat untuk saya. Saya berasa amat bersyukur kerana peluang-peluang ini hadir pada ketika ini.
“Jika peluang yang sama datang sewaktu saya berusia 21 tahun sebagai contoh, saya tidak pasti sama ada saya mempunyai kematangan atau kapasiti emosi untuk mengendalikan segalanya,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Menjawab mengenai statusnya sebagai isteri, pelakon drama Good Boys Go To Heaven itu menegaskan ikatan perkahwinan tidak pernah menjadi penghalang buat seorang wanita untuk terus berkembang dan mengejar impian.
“Mengenai status saya yang sudah bergelar isteri, saya tidak pernah melihat perkahwinan sebagai titik noktah kepada cita-cita atau identiti seorang wanita.
“Kita hidup sebagai individu dan kita tidak boleh berlumba dengan garis masa orang lain.
“Ada perkara yang mungkin nampak lambat mengikut pandangan kita, tetapi hakikatnya ini hadir pada waktu yang paling tepat,” jelasnya.
Sebelum ini, Mila mula dikenali dengan karakter Maureen dalam drama popular Good Boys Go To Heaven.
Selepas itu, dia dipilih menjadi Gusti Putri Raden Adjeng Retno Dumilah dalam Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) sekali gus menyambung legasi ibunya, penerbit Puan Seri Tiara Jacquelina.
PGLM bakal dipentaskan dari 31 Oktober hingga 15 November depan di Jeffrey Cheah Performaning Arts Centre (JCPAC), Sunway Square. – HIBGLAM
