‘Mereka ambil berat, suruh saya kuruskan badan’

PENYANYI yang juga pemenang tempat ketiga Big Stage Rocketfuel, Ranisha menerima saranan khalayak yang memintanya menurunkan berat badan demi kelangsungan kerjaya seninya.

Tidak melatah dengan komen segelintir individu yang mendakwanya sukar mendapat tempat dalam industri seni, pemilik nama penuh Farranisha Shazwany Mohd Faizul, 26, terbuka menerima setiap komen yang dalam masa sama memberi kesedaran untuk menjaga penampilan.

“Saya sangat sayang diri saya. Kalau ada orang suruh kuruskan sedikit badan, saya terima komen itu dengan hati terbuka.

“Bagi saya, mereka ambil berat dan mungkin selepas ini kalau nak keluarkan karya baharu, kena jaga penampilan agar seiring,” katanya ketika ditemui selepas program Big Stage Rocketfuel, semalam.

Ranisha yang suka mencuba dan menikmati pelbagai jenis makanan yakin berat badan mampu diturunkan dengan cara yang sihat.

“Saya suka makan! Siapa kata kuat makan tak boleh kurus?

“Bagi saya, suka makan juga adalah perkara bagus kerana boleh meningkatkan stamina dan ketahanan suara agar sentiasa sihat,” jelasnya.

Dalam pada itu, dia memilih untuk mengutamakan kesihatan diri apabila diminta mengulas sama ada akan melakukan pembedahan potong usus atau bariatrik untuk menurunkan berat badan seperti dilakukan beberapa selebriti tempatan.

“Bagi saya, perkara itu keputusan masing-masing.

“Kalau saya nak sihat tidak bermakna saya perlu kata benda itu (bariatrik) tak sihat, semua itu keputusan sendiri.

“Kita perlu menghormati keputusan orang lain dan saya juga ada pendirian sendiri,” katanya lagi.

Semalam, Big Stage Rocketfuel dijuarai Hussain dan diikuti pasangan duo, Adam Nazmi sementara Ranisha yang merupakan satu-satunya peserta wanita di pentas final pula merangkul tempat ketiga.

Kemenangan tersebut melayakkannyamembawa pulang wang tunai RM10,000, kontrak Rocketfuel Artist Development Contract bernilai sehingga RM50,000, sebuah single dan trofi sumbangan Astro. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok