Lebih banyak bukti akan dibongkarkan – Aisha Retno

Tampil mempertahankan diri, penyanyi Aisha Retno mendedahkan segala bukti yang ada berhubung isu pembatalan Konsert Malam Sutera Aisha Retno anjuran pihak Kharisma Music International akan dibongkar satu per satu.

Bagaimanapun, Aisha atau nama lengkapnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 24, turut mendoakan yang terbaik buat penganjur, Yuka Kharisma selain mengingatkan tentang undang-undang komunikasi sebelum membuat keputusan.

“Lebih banyak bukti yang akan didedahkan kelak dan keadilan akan terbongkar. Insya-Allah.

“Saya mendoakan yang terbaik buat dirinya, konsert dia dan konsert lainnya terjual. Harap dia menjadi penyanyi berjaya suatu hari nanti di mana dia tidak perlu menumpang populariti serta bakat orang lain.

“Semoga dia dapat rancang kewangan dan pemasaran dengan betul tanpa menyalahkan orang lain pada masa hadapan.

“Paling penting, saya harap dia tahu tentang undang-undang untuk komunikasi dengan orang lain sebelum membuat keputusan melulu tanpa memberitahu produk,” katanya dalam InstaStory.

Selain itu, pelantun lagu Sutera itu tetap akan memaafkan tindakan Yuka yang membatalkan konsertnya yang sepatutnya dijalankan pada 16 November lalu.

“Saya akan (maafkan) sebab jauh di dasar hati, dia berhati mulia cumanya keluarga dan rakan-rakan (yang pernah dianaiya dia) akan memaafkan dia?

“Hanya padang mahsyar yang boleh menjawab. Nauzubillahiminzalik, terima kasih Allah atas nikmat dan cabaran ini,” ujarnya.

Dalam masa sama, Aisha bersyukur ramai pihak yang mahu meringankan bebannya walaupun dia sedang sibuk dengan kerjaya nyanyiannya.

“Bangun pagi ini saya dapat banyak DM (mesej langsung) daripada peguam yang mahu bagi bantuan terhadap isu terkini. Masya-Allah, Semoga kalian dimurahkan rezeki.

“Maaf saya tidak dapat balas satu-satu lagi. Saya akan berhubung dengan semua nanti.

“Buat masa sekarang, saya hanya mahu fokus kepada karier dan lagu yang bakal dilancarkan pada Disember ini,” jelasnya.

Semalam, Yuka menuntut Aisha membayar semula wang sebanyak RM83,000 yang dipinjamkan bagi merealisasikan persembahan ketika Anugerah Juara Lagu (AJL) pada Mac lalu.

Difahamkan, konsert yang dibatalkan tersebut menjadi kaedah pembayaran semula jumlah dipinjamkan kepada naib juara AJL38 itu.

Terdahulu, Kharisma Music International memaklumkan Konsert Malam Samudera Aisha Retno yang dijadualkan pada 16 November dibatalkan atas faktor jualan tiket.

Susulan pembatalan, Aisha meluahkan rasa kesal dengan tindakan penganjur membuat keputusan tanpa memaklumkan kepada dirinya terlebih dahulu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok