TIDAK terlalu tertekan soal anak, penyanyi Hazama berlapang dada meskipun masih belum dikurniakan cahaya mata selepas tujuh tahun berkahwin.
Biarpun isterinya iaitu pemuzik Genervie Kam pernah menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) pada tahun lalu, Hazama atau nama lengkapnya Hazama Ahmad Azmi, 40, reda apabila usaha mereka tidak berhasil.
“Saya sangat gembira dengan kehidupan sekarang. Walaupun tiada anak, tetapi saya gembira. Alhamdulillah saya bersyukur dengan segala rezeki.
“Memang perasaan sedih itu ada, tetapi saya reda. Jika bertanyakan tentang perkara ini kepada saya, sejujurnya tiada apa-apa kerana hal sebegini lebih sensitif kepada wanita.
Hazama yang ditemui dalam majlis pelancaran album kedua bertajuk Pujangga di sini semalam turut memberitahu tidak bersedia untuk menjalani rawatan IVF kali kedua kerana kos yang tinggi.
“Proses IVF memerlukan kos yang tinggi dan memandangkan saya baru saja menggunakan duit simpanan untuk menerbitkan album baharu berjudul Pujangga.
“Kami pernah melakukan rawatan IVF tahun lalu, tapi tidak berhasil sebab ada masalah sepanjang prosedur itu dijalankan. Banyak pengorbanan yang perlu dibuat jika mahu proses itu berhasil seperti perlu berehat panjang dan tak boleh berada dalam keadaan tekanan.
“Isteri saya sebelum ini pernah hamil luar rahim sehingga terpaksa melakukan pembedahan dan membuang satu tuib dan ia agak berisiko sekiranya hamil sekali lagi,” katanya yang menyambut ulang tahun ke-40 semalam.
Tambahnya, setiap perkara yang berlaku itu tentu ada hikmahnya begitu juga tentang rezeki anak.
“Kami sebenarnya baik-baik saja walaupun belum dikurniakan anak sebab kami dikelilingi anak buah yang sentiasa bersama kami. Saya rasa kalau ada anak sekarang mungkin kerjaya kami berdua agak terbatas.
“Kerjaya seni ini memerlukan dedikasi yang tinggi dan saya percaya sementara masih ada permintaan, saya perlu bekerja dan bagi mendapatkan sumber pendapatan.
“Bidang kerja saya bukan dapat gaji bulanan. Tak semua bulan ada tawaran kerja. Jadi apabila ada tawaran saya ‘kutip’ dulu. Saya pun tak tahu bila tempoh berehat tapi mungkin apabila tiada tawaran itu adalah waktu berehat saya. Cuma sekarang ini sementara masih sihat saya kerja dulu,” katanya.
Terdahulu, pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 14 Januari 2017. – HIBGLAM