[VIDEO] ‘Bukan merajuk, biar tunjang utama GV bekerja dengan selesa’

SELEBRITI versatil Elly Mazlein menafikan dakwaan segelintir pihak mengatakan dirinya masih merajuk sehingga menolak tawaran mengacarakan program Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11) yang akan mula bersiaran pada 24 November ini.

Menurut Elly atau nama penuhnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 44, keputusan untuk tidak lagi mengacarakan program tersebut adalah ingin memberi ruang kepada dua hos tetap iaitu Nabil Ahmad dan Jihan Muse terus mengendalikan GV11.

“Benar, memang ada pujukan pihak produksi, saya tolak kerana mahu beri peluang kepada dua tunjang asal GV yang tiada tandingan.

Biarlah mereka menjadi DNA kekal di GV dan saya pula selesa mengendalikan program-program lain.

“Walaupun pernah mengendalikan dua GV sebelum ini, tidak mengapalah. Saya lebih memilih untuk menjaga kesihatan mental,” katanya kepadah HibGlam selepas majlis pelancaran Program Explorasi Usahawan Wanita di sini, semalam.

Ditanya sama ada dirinya masih terasa hati susulan insiden yang berlaku pada GV musim lalu sehingga menarik diri, Elly berkata, dia akan terus memberi sokongan selain yakin program tersebut lebih sukses jika dikendalikan Jihan dan Nabil.

“Merajuk? Itu kebudak-budakan tetapi saya lebih kepada matang dan memilih untuk membiarkan pasangan hos sebenar GV bekerja dengan lebih selesa.

Mereka pasangan tiada tandingan dan biarlah kekal begitu. Saya mendoakan semoga GV akan terus meletup dan peminat jangan sedih kalau saya tidak mengendalikannya lagi.

“Sama-sama kita beri sokongan pada GV, Nabil dan Jihan,” ujarnya.

Bukan sahaja terharu malah dia berasa sebak melihat komen netizen yang berterusan mahu melihat dirinya berada di pentas GV.

Katanya, meski tidak bertemu di pentas GV, dia akan mengubat kerinduan ramai menerusi kemunculan dalam program lain,

Saya terharu dan sedih juga. Bukan tak mahu buat tetapi mahu menjaga kesihatan mental dan mungkin bukan rezeki saya.

“Saya lebih memilih apa yang saya rasa ‘enjoy’ untuk buat. Ada yang suka dan tidak, semua itu biasa dalam kehidupan,” katanya lagi.

Tahun lalu, Elly mengejutkan ramai apabila menarik diri sebagai hos program All Stars Gegar Vaganza.

Sehingga hari ini, Elly tidak pernah berkongsi lanjut punca penarikan diri tersebut dan hanya memaklumkan keputusan itu diambil kerana mahu memberi keselesaan kepada orang lain merujuk kepada Nabil dan Jihan. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok