“CUKUP sekadar teguran, tapi jangan ‘downgrade’ mama saya macam itu.”
Demikian luahan anak kepada pelakon dan penyanyi, Raja Azura atau Kak Engku, Puteri Mia yang tampil mempertahankan ibunya susulan satu persatu kecaman susulan caranya mengendalikan program realiti Kilauan Emas Selebriti.
Puteri Mia atau nama lengkapnya Puteri Mia Maizura Adzmin Osman, berkata, dia terbuka andai ada pihak mahu menegur atau memberikan pandangan terhadap ibunya namun merendahkan latar belakang pendidikan wanita dihormatinya itu disifatkan sebagai tindakan biadab.
“Saya anak Kak Engku. Saya faham mama saya berpendidikan sampai SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) sahaja, tapi mama berjaya didik saya dan abang-abang menjadi manusia dan berpendidikan tinggi.
“Tanpa dia, saya tidak akan berada di sini,” katanya menerusi hantaran di Threads.
Menurut anak bongsu daripada tiga bersaudara itu, mereka menerima teguran yang membina kerana menyedari setiap individu mempunyai pandangan tersendiri.
“Cukup sekadar teguran. Saya dan mama saya boleh terima,” ujarnya.
Luahan tersebut turut disertakan dengan emoji hati putih sebagai tanda kasih sayang dan sokongan terhadap ibunya.
Sementara itu, sikap serta keberanian Puteri Mia yang bersuara bagi mempertahankan ibunya meraih perhatian netizen.
Begitupun, rata-rata meminta wanita berusia 21 tahun itu memberikan nasihat kepada Raja Azura agar memberi peluang kepada teman gandingannya, Keanu Azman dapat bercakap tanpa dipotong.
“Jadi, suruh mama awak betulkan apa yang perlu. Tak perlu terbawa-bawa soal kelebihan diri atau senioriti,” tulis seorang pemilik akaun Threads.
Puteri Mia berkata, Raja Azura juga sudah mengetahui mengenai kecaman yang dilemparkan terhadapnya dan akan berusaha memberikan persembahan lebih baik pada minggu berikutnya.
“Saya mohon maaf kepada mereka semua. Mama maklum dengan apa yang terjadi dan kami akan cuba berikan yang terbaik minggu depan.
“Doakan mama saya dan Keanu, okay?” ujarnya.
Terdahulu, penampilan Keanu sebagai pengacara KESmenerima pelbagai kritikan dan kecaman apabila dia didakwa ‘dimakan’ Raja Azura sepanjang mengemudi program tersebut.
Kemudian seorang pengguna Threads menyarankan agar Keanu meninggalkan program yang disifatkan seperti sarkas, malah pengguna terbabit juga menyatakan keyakinan Keanu layak mengendalikan acara lebih besar selain mengaitkan isu terbabit dengan pendidikan Raja Azura. – HIBGLAM
