‘Buka mata saya siapa kawan, siapa lawan’

MENGAKUI bukan mudah menjalani fasa perceraian, aktres Nur Fazura enggan ambil pusing kata-kata negatif yang dilemparkan netizen terhadapnya.

Menurut Fazura, 41, segala kutukan tidak meninggalkan kudis pada jiwa malah hanya membiarkan sahaja orang ramai untuk terus berkata-kata tentang dirinya.

“Biarlah ‘haters’ yang nak benci atau kutuk itu. Semua itu urusan mereka dengan Allah SWT.

Kadang-kadang ada juga individu yang hantar benda negatif kepada saya tetapi saya fikir semua itu mungkin mereka ada  isu dalam diri mereka sendiri.

“Tidak perlu marah, dendam atau sakit hati, biarkan sebab semua itu hanya pandangan peribadi mereka,” katanya dalam siaran langsung baru-baru ini.

Tambah bintang filem Dendam Pontianak itu, matlamat hidupnya ketika ini adalah untuk mengejar ketenangan dan terus muhasabah diri.

Matlamat hidup nak tenang dan gembira, semua perkara positif akan hadir serta mahu beribadah pun akan rasa seronok kalau tenang secara dalaman.

“Ujian ini buat saya lebih muhasabah diri, lebih kuat dan dapat banyak petunjuk daripada Allah SWT. Di sebalik semua ujian ini mungkin Tuhan nak beri ganjaran lain.

Paling penting kalau kurang sabar atau tidak menikmati ujian ini, bererti saya tak bersyukur. Kalau orang tanya bagaimana saya boleh sekuat ini, sebenarnya saya sentiasa percaya dengan setiap aturan Allah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Fazura mengakui ujian tersebut turut menyedarkan dirinya tentang individu sekeliling yang benar-benar ikhlas berkawan dengannya.

Paling mengejutkan ibu kepada seorang cahaya mata itu, individu yang selama ini dianggap rapat tidak bertanya khabar tentangnya terutama selepas melalui fasa perceraian.

“Ujian ini membuka mata saya tentang siapa kawan dan lawan. Siapa yang tak suka dan sebagainya.

Orang yang selama ini baik dan rapat dengan saya tidak pernah bertanya khabar tetapi mereka yang jarang berkomunikasi sebelum ini individu pertama bertanya khabar serta beri kata-kata semangat.

“Apabila ujian ini terjadi, Allah tunjuk perkara sebenar dan sangat terkejut tetapi tenang sebab dapat lihat siapa lawan atau kawan,” jelasnya.

Sebagai rekod,  Fazura mendirikan rumah tangga dengan Fattah pada November 2017 dan sah bercerai talak satu pada 7 Oktober lalu.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang zuriat perempuan iaitu Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok