PELAKON dan pengacara Che Puan Sarimah Ibrahim mempersoalkan mentaliti sesetengah pihak dalam industri hiburan tempatan masih menganggap watak utama atau heroin perlu disandang pelakon berusia 20 hingga 30 tahun.
Ujar Sarimah, 48, kecenderungan meletakkan had usia terhadap watak utama wanita dilihat berbeza dengan perkembangan industri antarabangsa, termasuk Hollywood dan Korea Selatan.
“Di luar negara, pelakon wanita utama termasuk pemenang Oscar kebanyakannya berusia 40-an dan ke atas. Antara nama besar termasuk Cate Blanchett, Song Hye-kyo, Demi Moore, Emily Blunt, Kate Winslet, Viola Davis, Anne Hathaway, Michelle Yeoh dan Dian Sastro.
Di Malaysia, kita masih sibuk dengan istilah ‘heroin mesti berusia 20 hingga 30 tahun’. Kenapa begitu?
“Adakah kita masih tidak memahami perkembangan industri atau sebenarnya bersikap ageist (diskriminasi berdasarkan usia)?,” soalnya dalam threads
Tambah pelakon drama Bila Cinta Menjadi Dosa itu, faktor usia tidak seharusnya dijadikan ukuran utama dalam menentukan kemampuan seseorang pelakon membawa watak utama.
Sebaliknya, pengalaman hidup serta kematangan berlakon mampu memberikan dimensi lebih mendalam terhadap sesebuah persembahan, terutama apabila watak memerlukan penghayatan emosi dan jiwa.
“Semakin berusia, semakin banyak pengalaman hidup serta kemahiran diperoleh.
“Perjalanan itu menjadikan lakonan lebih mendalam,” jelasnya.
Pandangan tersebut sekali gus membuka ruang lebih luas mengenai stereotaip usia dalam industri seni tempatan, khususnya terhadap pelakon wanita.
Namun, ada juga netizen berpandangan pemilihan pelakon tetap perlu mengambil kira kesesuaian watak, jalan cerita serta kehendak produksi, bukan semata-mata faktor usia. – HIBGLAM
