‘Semua wanita takut rumah tangga diganggu, itu naluri manusia’

ENGGAN mencampuri urusan peribadi rakan seperjuangan lain, pelakon Mira Filzah nemilih untuk tidak mengulas perihal orang ketiga atau penyondol yang kembali hangat diperkatakan.

Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 31, berkata, dia sendiri mempunyai keluarga serta rumah tangga yang perlu dijaga sekali gus membuatkannya berhati-hati melontarkan pandangan.

Saya sebenarnya tak mahu komen tentang isu penyondol sebab nampak kurang manis bagi pendapat pada perkara yang saya sendiri tak tahu hujung pangkal.

“Lagi pun saya mempunyai anak dan suami yang perlu dijaga, jadi lebih baik saya tak bagi komen,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Hikayat Bawah Putih Bawang Merah, baru-baru ini.

Ditanya sama ada timbul perasaan gusar disogokkan isu penyondol, ibu kepada seorang anak itu berkata, hanya doa mengiringi perjalanan kehidupan mereka sekeluarga.

Akuinya lagi, sebagai wanita sedikit sebanyak memang timbul kebimbangan namun semuanya berbalik kepada aturan Allah.

Saya percaya semua wanita akan berasa takut sekiranya rumah tangga mereka diganggu, itu memang naluri manusia, cuma kita doa yang baik-baik,” ujarnya.

Mira yang bergandingan dengan pelakon Shukri Yahya dalam drama Curang Tanpa Niat turut mengakui kisah curang banyak diangkat sebagai rencah cerita.

Begitupun, dia terbuka untuk beraksi dalam naskhah sebegitu memandangkan banyak mesej positif disampaikan kepada khalayak.

“Walaupun bukan saya yang bawa watak penyondol atau orang ketiga, saya yakin penonton pun faham kisah sebegini ada pengajaran.

Kebanyakan drama yang saya lakonkan sebelum ini pun ada tentang orang ketiga contohnya Pujaan Hati Kanda dan Cinta Si Wedding Planner.

“Kali ini kebetulan tajuk drama baharu gunakan perkataan curang, tapi saya tak risau terpalit isu kerana
itu tanggungjawab saya sebagai pelakon dan kerja juga adalah sebahagian daripada ibadah,” ujarnya.

Menerusi perkahwinannya dengan arkitek, Wan Emir Astar pada 3 September 2020, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Wan Khair Amir yang kini berusia tiga tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok