TINDAKAN seorang pempengaruh memburuk-burukkan bekas isteri dalam media sosial baru-baru ini mengundang rasa kurang senang banyak pihak termasuk selebriti tanah air.
Antaranya pelakon Sharnaaz Ahmad yang berpendapat membuka aib bekas pasangan kepada umum adalah tindakan tidak matang.
Sharnaaz atau nama penuhnya, Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 40, turut berpesan agar tidak berkongsi perkara buruk tentang bekas pasangan di hadapan anak-anak.
“Ramai bertepuk tangan, bukan simpati pun kalau begini.
Jangan sesekali cerita buruk tentang bekas isteri depan anak-anak, itu perbuatan budak sekolah,” katanya dalam ruangan komen hantaran milik pengarah, Michael Ang.
Sementara, Michael dalam hantaran sama turut menempelak tindakan pempengaruh tersebut kerana terlalu beremosi sehingga sanggup memburukkkan bekas isterinya.
Dia juga mengakui terkejut dengan perkongsian lelaki tersebut kerana kebiasaannya golongan wanita sahaja yang akan melakukan perkara sedemikian.
Setahu saya kalau di Malaysia, apabila pasangan bercerai selalunya perempuan yang akan meroyan gila-gila.
“Ini ada pula jantan yang meroyan dalam media sosial, memang dunia sudah terbalik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Michael turut mengingatkan bahawa setiap konten negatif yang dimuat naik dalam media sosial hari ini akan memberi kesan buruk pada hari mendatang khususnya kepada ahli keluarga.
Satu pesanan kepada netizen, kita berseronok dengan semua konten meroyan dan bodoh itu tetapi untuk anak-anak, keluarga dan rakan rapat, saya percaya mereka akan rasa malu.
“Mungkin bukan hari ini tapi masa akan datang. Jadi pakailah otak ya,” ujarnya lagi.
Terdahulu, sejak beberapa hari lalu kecoh dalam media sosial apabila seorang pempengaruh yang juga cef mengamuk apabila dituduh membawa dua anaknya bercuti dengan seornag wanita dipercayai pembantu peribadinya.
Perkongsian tersebut meraih pelbagai respons yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan tindakannya termasuk memburukkan bekas isteri di hadapan dua anaknya. – HIBGLAM