Kaka Azraff cerai talak satu

HAMPIR enam tahun hidup bersama, ikatan kasih penyanyi Kaka Azraff dan belahan jiwanya, Adam Azriff terlerai apabila bercerai talak satu hari ini.

Pengesahan lafaz cerai yang khabarnya dilakukan secara ekspres itu berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam, tengah hari tadi.

Sumber yang enggan dikenali berkata, Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff, 35, dilihat hadir ke mahkamah seawal pukul 9 pagi tadi.

Bahkan dia dan bekas suaminya dikatakan berpisah secara baik dan sepakat dalam hal penjagaan tiga anak mereka.

“Saya difahamkan Kaka belum sedia untuk buka mulut berhubung perceraian yang sudah disahkan di mahkamah hari ini.

“Puncanya memang dia tak beritahu dan tak kongsi pun hal peribadi. Selama ini mereka macam pasangan lain, tak nampak pula masalah besar.

“Kita doakan yang baik-baik sahaja untuk mereka dan anak-anak. Mereka pun masih bersahabat dan menjaga anak  bersama-sama,” kata sumber terdekat penyanyi terbabit kepada HibGlam

Menerusi semakan, kali terakhir Kaka berkongsi momen bersama keluarga kecilnya adalah pada hari ini ketika mereka menyertai aktiviti di sebuah premis permainan.

Perkongsian tersebut tidak menunjukkan sebarang tanda rumah tangga yang dibina pada 14 Disember 2018 itu bermasalah atau bakal terputus di tengah jalan.

Usaha HibGlam mendapatkan maklum balas Kaka berhubung berita perceraiannya belum berhasil apabila panggilan tidak berbalas.

Terdahulu, pasangan terbabit hanya bercinta selama tiga bulan sebelum diijabkabulkan sebagai suami isteri.

Pasangan itu sudah dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aslan, 5, dan Aryan, 3, dan Atta Adam, 15 bulan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok