KONSERT After Race Fest pada 3 November depan bakal menyaksikan kemunculan ratu rock negara, Ella sebagai penghibur jemputan sebaris dengan artis antarabangsa, Macklemore dan Smash Mouth.
Berlangsung di Helipad, Litar Antarabangsa Petronas, Sepang persembahan mega yang sinonim dengan penganjuran MotoGPTM turut membariskan artis lain seperti kumpulan Nidji dan Feel Koplo.
Lebih memacu adrenalin, acara yang ditunggu-tunggu peminat sukan permotoran tersebut juga turut dimeriahkan dua kumpulan popular tempatan iaitu De Fam dan 6ixth Sense.
Tersenarai dalam kalangan penghibur pada malam pesta tersebut, Ella menjadi sangat teruja selain menyifatkan peluang tersebut sebagai penghormatan untuk sama-sama beraksi dan berkongsi pentas dengan artis antarabangsa lain.
“Menjadi satu penghormatan buat saya apabila diberi tanggungjawab menyanyikan lagu Negaraku pada acara MotoGPTM.
“Malah, selepas itu saya akan berkongsi pentas bersama Smash Mouth dan Macklemore dengan penyanyi Malaysia serta Indonesia yang lain,” katanya.
Pengarah Urusan HiFive Entertainment, Sean Pereira berkata, pihaknya berbesar hati dapat mengundang artis ternama di konsert berkenaan demi memberi kepuasan kepada peminat.
“Seperti tidak lengkap jika perlumbaan MotoGPTM diakhiri tanpa keraian dalam kalangan pengunjung, maka kami di HIFIVE Entertainment menganjurkan konsert ini.
“Pengisiannya bukan semata-mata bersifat hiburan sebaliknya meraikan pengunjung dari seluruh dunia ke MotoGPTM dengan pelbagai aktiviti lain termasuk pertunjukan drone dan persembahan bunga api sebagai signifikan penganjuran acara yang sukses,” ujarnya.
Menurutnya lagi, persembahan akan dibahagikan kepada beberapa segmen. Aksi Feel Koplo dan De Fam menerusi segment Get Started, manakala segment Healing pula akan dikuasai Nidji dan 6itxh Sense, diikuti dengan persembahan bertenaga Ella.
Segment Lets Rock bersama Smash Mouth pula akan mengambil alih pentas konsert yang tentunya ditunggu-tunggu peminat. Kemunculan Macklemore pada segment Solidarity juga sesuatu dinantikan ramai.
Penyanyi rap terkemuka itu juga baru muncul dengan single berjudul Hind’s Hall 2 yang menyaksikan kolaborasinya bersama penyanyi rap Palestin MC Abdul, penulis lirik Amerika- Palestin Amer Zahr dan penyanyi Amerika, Anees Mokhiber.
Tiket konsert berharga RM550, boleh dibeli menggunakan kod promo PayLater by GRAB. – HIBGLAM