Vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh berkongsi khabar duka apabila anak pertama yang dikandung isteri, Fatin Athira meninggal dunia tujuh bulan lalu.
Khabar tersebut dikongsikan Noh atau Mohammad Noh Salleh, 39, dalam Instagramnya sambil memandang positif terhadap ujian yang dilalui.
“Hari ini 22 September genap tujuh bulan kami kehilangan anak dalam kandungan.
“Kalian tak tahu kan? Dalam kesukaran berjuang untuk Musa, kami juga bergelut memastikan anak di dalam kandungan sihat namun, Tuhan jemput dia awal.
“Segala ujian ini adalah untuk mempersiapkan kami agar menjadi lebih kuat atau erti kata lain perbaiki diri sebagai suami isteri,” katanya.
Bagaimanapun, Noh tidak menyatakan dengan lebih terperinci mengenai bayi itu.
Dalam masa sama, pelantun lagu Pagi Yang Gelap itu bersyukur dikelilingi orang baik selain sempat menamakan bayi itu dengan nama Julian.
“Meskipun perit nak lalui segala yang aneh tetapi kami bersyukur Tuhan jernihkan semua untuk kami nampak dan ternyata hidup lebih ‘steady’ serta tenang sebab kami berjuang pertempuran hebat dan menang.
“Beruntung kami di kelilingi orang-orang baik, teman-teman dan keluarga yang tidak henti memberi kekuatan, mendoakan serta menemani pergi ke kubur sementara kami tidak stabil mental dan emosi.
“Kami juga namakan anak kami Julian. Insya-Allah semoga Tuhan izinkan kami boleh berjumpa dengan dia nanti,” ujarnya.
Selain itu, Noh memuat naik hantaran tersebut pada hari ini sempena ulang tahun perkahwinan pertamanya dengan isteri.
“Hantaran ini adalah sempena ulang tahun saya dan isteri esok.
“Ulang tahun pertama tetapi rasa macam 20 tahun sebab melalui macam-macam,” jelasnya.
Noh dan Fatin Athira mendirikan rumah tangga pada 23 September tahun lalu dalam sebuah majlis tertutup di Puchong.
Terdahulu, Noh pernah mendirikan rumah tangga dengan aktivis kemanusiaan, Mizz Nina pada 2 Julai 2011, namun bercerai pada Ogos lalu.
Noh dan Nina tidak dikurniakan cahaya mata namun mempunyai seorang anak angkat bernama Musa.– HIBGLAM