SAYA tidak pernah abaikan peminat, mereka adalah separuh jiwa saya.”
Demikian kata penyanyi Nadeera sekali gus menafikan tuduhan bersikap sombong apabila tidak mengendahkan sapaan peminat.
Masih tahu asal usul, Nadeera atau nama sebenarnya Farah Nadeera Zaini, 31, berkata, istilah bongkak tidak pernah wujud dalam kamus karier seninya kerana sedar bukan mudah untuk mengumpulkan peminat.
Saya sebenarnya agak terkejut dengan dakwaan tersebut, jujurnya saya tidak pernah sombong dengan peminat. Saya sangat sayangkan mereka yang sudah ibarat tulang belakang saya dalam karier seni.
“Saya perlu akui bahawa untuk kumpulkan peminat adalah satu perkara yang sangat susah. Jadi, untuk apa saya berkelakuan sombong dengan mereka,” katanya ketika dihubungi HibGlam.
Enggan perselisihan faham terus berlarutan, pelantun lagu Emas itu memohon maaf andai terlepas pandang dalam menyantuni peminat sehingga ada hati yang terluka tanpa sengaja.
Katanya, dia akan lebih peka dan sentiasa memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.
“Saya mohon maaf sekiranya saya terlepas pandang atau tidak perasan apabila disapa mana-mana peminat.
Lepas ini saya akan lebih berhati-hati. Saya sangat berterima kasih kepada semua peminat yang selalu menyokong saya dan sudi menegur saat saya melakukan kesilapan.
“Ketahuilah bahawa saya masuk ke dalam industri industri ini untuk berkongsi bakat dan karya yang saya ada, jauh sekali ingin meninggi diri,” ujarnya.
Sebelum ini, timbul spekulasi apabila terdapat peminat mendakwa juara Big Stage musim ke-5 itu mula meninggi diri malah dilihat sudah jarang membalas komen pemuja bakatnya dalam media sosial.
Selain Nadeera, antara selebriti lain yang turut dicop hidung tinggi adalah Ben Amir, Nad Zainal dan Aedy Ashraf. – HIBGLAM