TIDAK mengira usia, pelakon dan penerbit Riezman Khuzaimi membuktikan individu senior sepertinya mampu menjana pendapatan sebagai hos siaran langsung aplikasi TikTok.
Tidak hairan apabila syarikat yang meraih pengiktirafan No. 1 Platinum Agency di Malaysia dan Top 5 TikTok Agency di Asia Tenggara, KamiSempoi International Agency (KSIA) melantiknya sebagai duta.
Kata Riezman, semua orang dari pelbagai latar belakang berpotensi cerah untuk meraih hasil menerusi TikTok asalkan rajin serta kerap muncul secara langsung setiap hari.
Jangan malu untuk menjadi hos ‘live’ TikTok. Asalkan rajin dan bersemangat, insya-Allah kita semua boleh menambah pendapatan menerusi platform ini.
“Saya juga berbesar hati dilantik sebagai duta KamiSempoi International Agency dan pada masa sama membantu menggilap lebih ramai hos baharu.
“Bersama agensi ini, saya sendiri dapat merasakan semangat untuk terus aktif bersiaran langsung sekali gus mendekati mereka yang berminat menyertai kami.
“Sudah ada perancangan untuk membuat jelajah di beberapa lokasi bagi memberi pendedahan dan melahirkan lebih ramai pencipta kandungan atau pempengaruh TikTok,” katanya pada majlis KamiSempoi Golden Award 2023 dan pelantikannya sebagai duta KSIA, baru-baru ini.
Jana pendapatan
Sementara itu, pengasas KSIA, To Chin Swee berkata, pelantikan Riezman atau Abang Don bersandarkan kriterianya selaku hos siaran langsung TikTok yang pernah menjana pendapatan tinggi dan kini membuka sub-agensi di bawah KSIA.
“Kami mempunyai lebih 30 selebriti sebagai hos siaran langsung TikTok termasuk Riezman, Nita Hamzah, Datuk Seri Eizlan Yusof, Dynas Mokhtar, Nadia Mustafar dan Acong Sweetchild.
“Selain dinaungi 1,300 hos siaran langsung TikTok di Malaysia, kami juga berjaya meluaskan empayar di Indonesia dan Singapura dengan dinaungi 21 sub-agensi secara keseluruhan.
Pemilihan Riezman sebagai duta juga membuktikan agensi ini menghargai jasa hos sekali gus menyuntik semangat hos lain untuk berada pada tahap Riezman,” katanya.
Anugerah hos aktif
Penganjuran majlis anugerah KamiSempoi Golden Award 2023 juga antara pengiktirafan kepada hos siaran langsung dan sub-agensi yang membantu menaikkan nama dan kedudukan KSIA sebagai agensi TikTok berpengaruh.
Sebanyak tujuh kategori membabitkan sub-agensi, manakala 15 kategori untuk hos siaran langsung TikTok yang terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti selebriti, profesional, ahli perniagaan, pelajar, suri rumah tangga dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Chin Swee berkata, KSIA turut menyediakan latihan percuma kepada semua hos yang bernaung di bawah agensi serta sub-agensi mereka.
Banyak ilmu boleh diperoleh daripada sesi latihan terutama bagi mengasah TikToker mencipta konten dan bagaimana ‘engaged’ dengan pengikut agar mampu menjadikan platform ini sebagai sumber pendapatan.
“Latihan disediakan sangat penting kerana mahu memastikan hos siaran langsung TikTok mampu menghasilkan konten hiburan menarik dan bermanfaat,” ujarnya.
Riezman mula bergiat aktif dalam dunia TikTok sekitar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun 2020 sehingga sekarang.