TIDAK gemar terbawa-bawa emosi dan terdedah dengan perkara negatif berkaitan hal peribadi orang lain, penyanyi Marsha mengakui jarang menggunakan aplikasi Threads yang disifatkan terlalu lantang buatnya.
Bukan pengecut untuk berdepan realiti kejam media sosial, menurut Marsha, 40, dia lebih selesa mengelak daripada membaca dan mengambil tahu perkara yang tidak patut membelenggu fikirannya.
“Saya jarang dan kurang aktif guna platform Threads. Bukan nak cakap saya pengecut tetapi saya rela untuk tidak membaca apa yang tak sepatutnya.
“Jadi, sebelum saya terbaca apa yang tak patut itu, saya tak masuk sangat pun Threads.
“Kalau ada benda yang penting nanti adalah orang akan maklumkan kepada saya,” katanya kepada HibGlam Online baru-baru ini.
Bagaimanapun, Marsha mengakui pernah terdorong untuk memberikan respons selepas terbaca komen berkaitan persembahannya, terutama apabila ada individu yang memahami konsep dan visual yang cuba disampaikan.
Katanya, lambakan komen negatif terhadap pelbagai isu juga membuatkannya lebih berhati-hati menggunakan platform tersebut.
“Ada juga komen negatif mengenai diri saya.
“Pernah juga terbaca benda tak bagus, tapi bukan tentang saya. Jadi, saya rasa ini tidak sihat.
“Mungkin sebab itu saya rasa Threads terlampau lantang untuk saya,” katanya lagi.
Ujarnya, dia tidak kisah memilih untuk kurang aktif dalam platform tersebut walaupun menyedari Threads mempunyai kepentingan dalam membantu artis membangunkan kerjaya serta mempromosikan hasil kerja.
“Mungkin tidaklah sepenuhnya toksik tetapi daripada saya terbaca atau berada dalam situasi yang tak patut tahu, tak mengapalah kalau kurang aktif.
“Saya pilih untuk abaikan Threads meskipun sedar media sosial sangat penting untuk pembangunan seorang arti.
“Namun mungkin saya bukan artis yang seperti itulah (lantang dalam Threads),” ujarnya. – HIBGLAM
