PENGACARA dan pelakon Uyaina Arshad bersyukur kerana tidak mengidam sebarang makanan yang dianggap melampau sepanjang proses kehamilan anak keduanya ketika ini.
Menurut Uyaina, 31, kehamilannya kali ini masih sama seperti anak pertama yang berjalan lancar namun tekaknya mengelak untuk makan nasi kandar.
“Sejujurnya saya memang tidak mengidam, teringin makan apa-apa yang terlalu melampau atau akan merajuk kalau tak dapat sehingga air liur meleleh.
“Alhamdulillah tidak ada mengidam teruk-teruk cuma selera makan sahaja lain.
“Kehamilan pertama dulu saya akan makan nasi kandar setiap hari ditambah pula Syahiran yang banyak mengidam tahap merajuk kalau tak dapat tetapi kali kedua ini, saya makan semua kecuali nasi kandar,” katanya dalam Instagram.
Tambah hos program Wanita Hari Ini itu, dia akan seboleh-bolehnya mengelak nasi kandar namun akan menjamah sekiranya terpaksa.
“Kalau sudah terpaksa makan, okey sahaja tetapi selagi boleh elak, saya memang tak mahu nasi kandar.
“Tapi apabila dengar cerita ibu, dia pernah mengidam sangat pelik iaitu buah anggur dalam dulang hantaran orang kahwin, Allahuakbar.
“Kelakar bukan apabila cerita pasal mengidam ini. Anda atau isteri pernah ada pengalaman mengidam benda pelik-pelik tak sewaktu hamil?” ujarnya.
Pada 31 Disember tahun lalu, Uyaina mengumumkan dirinya hamil dan bakal menimang bayi lelaki.
Dia yang mendirikan rumah tangga dengan penyanyi, Raja Syahiran pada 21 Disember 2021 dan mempunyai seorang anak lelaki, Raja Urhan. – HIBGLAM