KETIADAAN dua pelakon terkenal, Sharnaaz Ahmad dan Beto Kusyairy sebagai duta baju Melayu Bulan Bintang untuk tahun 2024, adalah disebabkan kontrak kedua-dua aktor tersohor itu yang telah tamat pada tahun ini.
Pengasas jenama Bulan Bintang, Azzim Zahid Ahmad berkata, walaupun Sharnaaz dan Beto tidak lagi menjadi duta jenama tersebut, namun mereka masih mengekalkan hubungan baik dan tidak timbul sebarang isu berbangkit.
Malah, Azzim menghargai segala kerjasama yang terjalin antara mereka sebelum ini, selain turut menyifatkan Sharnaaz dan Beto sangat berjasa dalam memperkenalkan lagi jenama Bulan Bintang.
“Kontrak mereka (Sharnaaz dan Beto) sudah habis pada tahun ini, jadi mereka bebas untuk bekerjasama dengan mana-mana jenama lain.
“Saya tidak ada apa-apa isu dengan mereka, malah hubungan kami masih lagi baik. Saya sangat terhutang budi dengan Sharnaaz dan juga Beto.
“Lagi pun, saya tidak boleh ‘ikat’ mereka sehingga akhir hayat. Jadi mereka ada pilihan untuk ke mana-mana dan kami okay sahaja,” katanya.
Jelas Azzim lagi, sewaktu majlis perkahwinannya pada November tahun lalu, kedua-dua pelakon itu ada menghadiri majlis persandingannya, sekali gus membuktikan hubungan mereka masih lagi baik sehingga sekarang.
“Buktinya, semasa majlis perkahwinan saya pada November lalu, mereka ada datang. Kami masih lagi berkawan sehingga hari ini,” jawabnya.
Mengetahui dua aktor hebat itu kini menjadi duta bagi jenama baju Melayu lain, Azzim berkata dia sentiasa bersikap profesional dan memberikan sokongan terhadap dua sahabatnya itu.
“Mereka sangat baik dan sehingga kini, saya masih terhutang budi dengan Sharnaaz dan Beto. Mereka ada pilihan lain pun saya masih okay.
“Selepas kontrak mereka tamat, saya dah bersedia untuk tengok mereka bekerjasama dengan jenama lain pula,” ujarnya.
Dalam pada itu, Azzim juga amat berbesar hati dengan kehadiran pelakon, Remy Ishak sebagai duta baharu Bulan Bintang.
“Setiap duta kami akan mewakili setiap jenis pakaian. Kita rasa Remy sesuai untuk mewakili baju Melayu Teluk Belanga.
“Dengan pasaran di Malaysia ini dan nampak wajah kemelayuan serta maskulin, Remy adalah orangnya,” akhirinya.
Berkongsi perkembangan mengenai Bulan Bintang, Azzim berkata tahun ini dia sudah pun membelanjakan sehingga RM11 juta untuk kempen raya bagi edisi tahun 2024.
“Bajet tahun ini secara keseluruhannya sudah mencecah RM11 juta. Nampak seperti besar, namun tidak seperti tahun lalu.
“Tahun lepas, saya belanjakan untuk persembahan drone RM3 juta dan konsert Bulan Bintang RM2 juta. Ketika itu saya belanja untuk penjenamaan (branding) Bulan Bintang.
“Untuk tahun ini pula, sebanyak RM3.2 juta sahaja diperuntukkan untuk cabutan bertuah yang akan diberikan kepada pelanggan,” katanya.
Untuk rekod, tahun 2024, jenama Bulan Bintang melantik enam duta iaitu Shukri Yahaya, Remy Ishak, Nadhir Nasar, Mierul Aiman, Hannah Delisha, dan Daiyan Trisha. -HIBGLAM