AKTOR Beto Kusyairy mendedahkan naskhah lakonannya, Good Boys Go To Heaven (GBGTH) membuatkan ramai individu berani tampil berkongsi pengalaman pernah menjadi mangsa seksual.
Menurut Beto, pendedahan sebegitu menjadi penanda aras positif buat GBGTH kerana berjaya membuatkan ramai bersuara mengenai isu yang dikatakan sensitif untuk diperdebatkan secara umum.
“Sebab drama ini, ramai mahu menjadi detektif untuk merungkai konflik namun di sisi lain pula, ada yang mula bercakap dan membincangkan jalan cerita GBGTH dalam media sosial ibarat memberi satu kepuasan kepada saya.
“Akhir-akhir ini juga, saya ada membaca beberapa komen dan menerima mesej peribadi daripada individu yang berani untuk berkongsi pengalaman mereka.
Ada yang mengakui bahawa suatu ketika dahulu mereka pernah melalui situasi yang hampir sama seperti yang dipaparkan dalam siri ini (jenayah seksual) melibatkan individu yang dipercayai, ini perkembangan positif sebab mereka sudah berani bersuara,” katanya kepada HibGlam selepas majlis tayangan episod ketujuh GBGTH di sini, semalam.
Melihat respons positif orang ramai terhadap GBGTH, dia juga berharap isu-isu berkaitan jenayah seksual seperti diangkat dalam drama tersebut akan lebih terbuka untuk dibahaskan yang sebelum ini dianggap sebagai mencalarkan imej keluarga.
“Saya berharap isu seperti ini tidak lagi dianggap sebagai satu tabu. Terutamanya persepsi segelintir ibu bapa yang berasa malu untuk membicarakannya.
Mungkin suatu ketika dahulu soal maruah dan nama baik keluarga menjadi penghalang tetapi saya percaya keadaan kini sudah banyak berubah.
“Tujuan kami bukanlah untuk mendidik, tetapi untuk menimbulkan kesedaran. Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan di luar jangkaan,” jelasnya.
Terdahulu, sejak ditayangkan, GBGTH yang mengangkat kes pembunuhan berkaitan jenayah seksual terhadap seorang kanak-kanak lelaki menjadi topik bualan hangat netizen dalam media sosial.
Rata-rata penonton mula menjadi detektif mencari pembunuh sebenar dalam kalangan pelakon yang membintangi drama tersebut.
Selain Beto, GBGTH turut dibarisi Zahirah Macwilson, Amerul Affendi, Firdaus Karim, Malek McCrone, Mila Mohsin dan Dai Fuad. – HIBGLAM
