DEMI menangkis stigma segelintir pihak terhadap genre dangdut, penganjur Konsert Goyang Asia Koplo Mileneia bertindak menukar nama persembahan mega menggabungkan penyanyi Malaysia dan Indonesia itu kepada Konsert Milenia Live in Kuala Lumpur.
Pengarah Projek Mission Sight Sdn. Bhd, Riezman Khuzaimi, berkata penjenamaan semula konsert yang dijadualkan pada 30 September nanti itu juga akan tampak lebih universal.
Belum pun bermula, konsert mega yang bakal berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam telah menjadi sasaran kritikan mereka yang sentiasa memiliki persepsi negatif terhadap irama dangdut.
“Demi membuang persepsi masyarakat dan menghormati semua pihak, Konsert Goyang Asia Koplo Milenia telah dijenamakan semula kepada Konsert Milenia Live In Kuala Lumpur.
“Pihak kami sedar apabila disebut dangdut koplo sudah pasti ada yang menyangka kemunculan barisan penyanyi nanti disertai tarian seksi, namun itu semua sekadar tanggapan,” katanya dalam satu kenyataan.
Selaku penganjur yang bertanggungjawab, kata Riezman yang juga pelakon, setiap penyanyi terutama dari Indonesia iaitu Siti badriah, Fitri Carlina, Hesty Klepek-kelepek dan Rheyna Morena diingatkan tentang garis panduan persembahan.
“Sejak awal lagi mereka tiada masalah untuk akur dengan ketetapan dan menghormati garis panduan bukan hanya pada persembahan, bahkan meliputi penampilan pada malam tersebut.
Sebagai penggiat seni, Mission Sight lebih teruja menonjolkan seni dalam muzik itu sendiri tanpa membawa elemen negatif seperti mana tanggapan pihak tertentu.
“Kami hanya menjual irama dan lagu, bukan unsur negatif tarian dan gelek lucah macam yang dituduh ketika pengumuman konsert ini,” katanya lagi.
Selain empat barisan penghibur terkemuka seberang, Konsert Milenia Live In Kuala Lumpur turut dimantapkan lagi dengan kemunculan Ratu Dangdut Malaysia, Amelina dan Ani Maiyuni.
Pada masa sama, Riezman turut mengumumkan penjualan tiket harga rahmah sempena Merdeka yang memberi peluang peminat berhibur dengan potongan diskaun sehingga 50 peratus.
“Ini adalah konsert pertama Mission Sight yang sebelum ini berpengalaman luas dalam penganjuran acara serta festival mega.
Kami ingin berkongsi kemeriahan dengan membuka peluang kepada lebih ramai penggemar muzik menikmati genre dangdut, selain memberi potongan 50 peratus bersempena bulan kemerdekaan.
“Harga istimewa ini turut ditawarkan kerana kami merancang mengadakan konsert untuk malam ke dua dan jika terlaksana kemungkinan artis sensasi seperti Baby Shima dan beberapa artis lain dapat turut serta.
“Lebih membanggakan, konsert ini juga mungkin akan mencatat sejarah dan diabadikan dalam Malaysia Book of Records, sekiranya tiket habis terjual,” katanya.
Menariknya, konsert ini juga bakal dimeriahkan dengan Festival Muzik Milenia selama tiga hari berturut-turut di perkarangan Stadium MBSA Shah Alam bermula 29 September hingga 1 Oktober 2023.
Antara pertandingan melibatkan lima negara Malaysia, Indonesia, Singapore, Brunei dan Thailand di festival berkenaan adalah pencarian Raja dan Ratu Dangdut Asia, pertandingan tarian dan cabaran One Minutes Challenge.
Tiket mengikut zon kini boleh didapati di laman sesawang hwww.ticket2u.com.my yang menawarkan harga terkini bermula dari RM240 (VIP Koplo), RM134 (Asyik), RM89 (Rindu) hingga ke zon berdiri yang hanya RM50. – HIBGLAM