MAHU ada unsur Melayu, pelakon Remy Ishak dan Isterinya, Ezza Yusof sepakat memilih nama Tuah Alam untuk anak sulung mereka yang dilahirkan pada 27 Julai lalu.
Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak berkongsi perkara itu menerusi video program Oh My Baby yang dimuat naik dalam Instagram miliknya.
Ujar pelakon berusia 41 tahun itu, sejak belum mendirikan rumah tangga lagi, dia sudah berangan untuk memberi nama anaknya yang mempunyai unsur kemelayuan.
Masa bujang lagi, saya ada terfikir kalau anak lelaki, saya mahu letak nama (anak) ada unsur Melayu.
“Saya dah bincang dengan Ezza (isteri) dan dia pun setuju,” ujarnya.
Pada masa sama, Remy turut memberitahu bahawa dia ada beberapa nama lain yang turut menjadi pilihan untuk anaknya sebelum memilih Tuah Alam.
Selain daripada Tuah Alam, kami ada letak Tuah Arjuna, Tuah Alexander. Kenapa Alexander? Sebab saya ada terbaca buku Alexander.
“Tapi akhirnya kami memilih Tuah Alam. Nak ada nama ‘mix’ juga pada mulanya, tapi tidak boleh sebab bukan jiwa,” jelasnya.
Remy dan Ezza selamat disatukan sebagai suami isteri pada 21 Ogos 2021 selepas lapan tahun menjalinkan hubungan cinta.
Pasangan tersebut kemudiannya mendedahkan bakal menimang cahaya mata sulung ketika kandungan isterinya memasuki usia lima bulan. – HIBGLAM