BERJAYA menurunkan berat badan selepas naik secara drastik ketika pandemik Covid-19, pelakon terkenal, Shaheizy Sam menjadi inspirasi ramai lelaki yang mengidamkan bentuk tubuh kekar sepertinya.
Justeru itu, bintang Polis Evo 3 itu kerap diajukan soalan mengenai cara-cara untuk menurunkan berat badan sehingga tergerak hati untuk memberi motivasi kepada masyarakat tentang pentingnya menjaga kesihatan.
“Ramai sebenarnya mahu kurus, cuma mereka tidak mendapat bimbingan atau tidak tahu cara yang betul.
Sejak saya berlakon dalam filem Polis Evo yang pertama pada 2015 lagi, asyik individu sama sahaja yang tanya bagaimana saya kuruskan badan.
“Filem kedua (Polis Evo 2 pada 2018) tanya lagi sehingga Polis Evo 3. Saya terfikir mereka tidak kurus-kurus lagi ke?” ujarnya.
Atas dasar ingin membantu, Sam atau nama lengkapnya Shaheizy Sam Abdul Samad, 41, berhasrat menganjurkan sebuah program dengan kelompok individu yang mahu kurus untuk sama-sama mencapai impian mereka.
Saya sedar mereka ini bukan tidak mahu kurus, cuma tidak tahu macam mana nak buat. Jadi saya gunakan kesempatan ini untuk anjurkan sebuah program.
“Saya mahu kumpulkan orang yang nak kurus tapi tidak tahu cara betul kuruskan badan. Saya akan ajar mereka apa yang saya lakukan setiap hari untuk dapatkan bentuk badan idaman
“Saya memang kena bantu individu yang ada masalah berat badan. Ini kerana Malaysia merupakan negara tertinggi penduduknya mengalami obesiti di Asia Tenggara,” jelasnya yang akan mengadakan acara tersebut secara ‘on ground’ dalam masa terdekat.
Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my.