‘Sebahagian hasil jualan saya wakafkan untuk arwah bapa’

TANDA ingatan, pelakon, Shaheizy Sam meletakkan Abdul’ss pada kafe miliknya kerana mahu mengabadikan nama bapanya, Allahyarham Abdul Samad Jaaman yang meninggal dunia ketika dia berusia 12 tahun.

Shaheizy Sam, 44, atau Sam berkata, dahulu dia tidak berpeluang mengenali insan dihormatinya itu dengan lebih dekat atas faktor kesibukan Allahyarham yang berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Polis Selangor.

Sejujurnya, sebagai anak, saya tidak begitu mengenali arwah bapa tetapi apabila semakin dewasa, saya terfikir, walaupun saya tidak mengenalinya, beliau tetap bapa saya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jadi, saya membuka restoran Abdul’ss demi mengingati selain ada sebahagian hasil perniagaan ini yang mahu saya wakafkan untuk arwah bapa,” katanya kepada HibGlam.

Pada masa sama, pelakon filem Chelot itu menjelaskan nama Abdul’ss turut mengingatkan dirinya agar sentiasa merendah diri selain tidak melupakan kedudukan sebagai hamba Allah.

Lebih istimewa, akuinya lagi, Abdul’ss turut mempunyai kaitan dengan dirinya dan isteri, Syatilla Melvin, menerusi dua huruf ‘S’ yang mewakili mereka.

“Saya percaya rezeki Allah sudah dijanjikan. Jadi, kalau restoran ini berkembang sejauh mana pun, saya mahu sentiasa ingat supaya kekal merendah diri.

Saya juga selalu ingatkan diri bahawa kita berniaga dan mengikuti sunnah berniaga kerana kita semua ini adalah hamba-Nya.

“Abdul’ss cukup bererti buat saya serta isteri kerana membawa banyak makna bahawa ada bahagian untuk hamba-hamba Allah yang lain,” katanya.

Mengulas mengenai minatnya terhadap bidang makanan dan minuman (F&B), Sam berkata, keinginan membuka restoran sendiri berputik sejak kecil, malah dia pernah mencuba membuat roti canai ketika berusia 12 tahun.

Katanya, impian itu sekian lama tersimpan, namun kekangan modal ketika menapak dalam kerjaya seni mengakibatkan hasrat tersebut tidak dapat direalisasikan lebih awal.

Dari kecil memang saya minat dunia F&B. Saya juga selalu bayangkan rumah saya ketika tinggal di Melawati dulu, ada orang memasak dan pelanggan datang memesan makanan.

“Apabila sudah dewasa, saya rasa kalau tidak buat, saya tidak akan dapat memenuhi keinginan yang ada sejak kecil,” katanya.

Sam turut menyifatkan sekarang sebagai waktu paling tepat untuk merealisasikan impian memandangkan komitmen lakonannya tidak lagi seperti dahulu.

“Bukan bermakna saya nak perlahankan rentak, cuma ketika ini nak bagi fokus dulu terhadap kafe pizza kami yang baru beberapa bulan beroperasi,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok