PEMERGIAN bapa tiga tahun lalu benar-benar memberi kesan yang mendalam buat penyanyi Indonesia, Cakra Khan setiap kali tampil membuat persembahan di pentas besar.
Cakra atau nama sebenarnya Cakra Konta Paryaman, 31, berkata, rasa sebak datang setiap kali teringatkan Allahyarham bapa, Hermano yang selalu bertanya tentang persiapan persembahannya.
“Setiap kali saya buat persembahan saya sebak teringat arwah ayah. Arwah selalu bertanya tentang persiapan dan keadaan saya lepas persembahan. Dia akan beri kata-kata semangat kepada saya.
“Jadi, setiap kali menyanyi saya akan rasa sedih. Sebenarnya dia adalah insan yang jadikan saya seperti sekarang,” ujarnya.
Cakra berkata demikian ketika sidang media Dream Festival Collaboration Vol 4 – Cakra Khan Live in Kuala Lumpur yang diadakan secara maya, baru-baru ini.
Untuk rekod, Allahyarham meninggal dunia 21 Ogos 2020 akibat sakit strok.
Sementara itu, berkongsi pengalamannya menyertai pertandingan realiti America’s Got Talent baru-baru ini, Cakra mengakui tertekan dan gementar menyanyi di luar negara.
Menurut penyanyi lagu Kekasih Bayangan itu, perasaan tersebut timbul berikutan dia berasa bersendirian tanpa ditemani individu dikenalinya.
“Jika ditanya tentang perasaan gementar bagi saya setiap kali persembahan pasti ada rasa gementar. Bezanya di Indonesia saya ada team di belakang pentas.
“Kalau di AGT 2023 hanya saya sendiri dan saya tidak kenal siapa-siapa kecuali para juri. Ia memberikan tekanan yang sangat luar biasa,” ujarnya.
Oleh yang demikian, Cakra berkata, dia memberi fokus kepada nyanyiannya tanpa memikirkan komen yang bakal diberikan para juri.
“Saya tidak memikirkan apa kata juri, yang penting saya dapat membawa lagu itu sebaik mungkin,” ujarnya yang kini sedang membuat persiapan ke peringkat seterusnya pada akhir bulan ini.
Dalam perkembangan lain, Cakra yang akan menjayakan konsert Cakra Khan in Kuala Lumpur pada September depan teruja bakal bergandingan dengan penyanyi Nadeera.
Menurut Cakra, dia sentiasa terbuka untuk berkolaborsi dengan artis baharu.
“Saya bukan seorang memilih dengan siapa saya mahu berkolaborasi. Saya tidak kisah penyanyi lama atau baru.
“Saya lihat persembahan Nadeera di Big Stage musim kelima itu dan dia mempunyai vokal yang baik,” ujarnya.
Konsert Cakra Khan in Kuala Lumpur bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 17 September depan dengan harga tiket bermula RM178 sehingga RM5,800. – KOSMO! ONLINE