Selamat hari lahir daddy, cepat sembuh – Adrian Adam

“CEPAT sembuh daddy.”

Demikian luahan anak kepada pelakon Amyza Aznan, Adrian Adam buat bapanya, Khairil Izhar Mohd Nazir yang sudah 10 hari ditempatkan di Unit Rawatan Jantung (CCU), Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menerusi Instagram, Adrian, 18, berkongsi perkembangan semasa bapanya yang dikatakan mula membuka mata dan menggerakkan tangan walaupun masih bergantung kepada tiub bantuan pernafasan.

Malah anak kedua daripada tiga bersaudara itu turut menyampaikan ucapan hari jadi kepada insan kesayangannya.

Selamat hari lahir,” tulisnya ringkas tanpa mendedahkan tarikh sebenar sambutan ulang tahun bapanya.

Khairil, 51, dimasukkan ke HKL pada 23 Ogos lalu dalam keadaan kritikal sebelum ditidurkan akibat komplikasi paru-paru berair serta tekanan darah tinggi.

Terkini Amyza, 50, memaklumkan suaminya menunjukkan perkembangan positif apabila sudah mampu membuka mata dan menggerakkan tangan walaupun masih ditidurkan.

“Keadaan suami saya menunjukkan sedikit perkembangan biarpun masih ditidurkan selain dalam pemantauan rapi doktor. Cuma doktor sudah keluarkan tiub pernafasan itu sedikit.

Dia boleh buka mata dan ada pergerakan tangan tetapi jantungnya masih lemah dan tiub pernafasan perlu terus dipasang,” katanya.

Buat masa ini, ujar Amyza, hanya ahli keluarga terdekat dibenarkan melawat mengikut waktu ditetapkan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok