‘Abah pesan stay on top, be humble, buckle up’

JIKA dihitung tempoh perjuangan dalam program realiti, Hussain mungkin boleh diangkat sebagai penyanyi baharu yang paling lama bertahan di pentas pertandingan.

Bermula dengan program Talk To My Manager musim kedua (TTMM2) sehinggalah diserap masuk ke Big Stage Rocketfuel, anak kelahiran Ipoh, Perak itu berjaya mencipta fenomena tersendiri.

Baginya, tempoh 18 bulan bertanding dalam dua buah program realiti bukan satu hal yang mudah tetapi semua rintangan ditempuhnya dengan kental demi memperjuangkan bakat dan membanggakan ibu bapa.

Kejayaan pemilik nama penuh Hussain Jamilul Hayat, 23, bergelar juara Big Stage Rocketfuel baru-baru ini meledakkan satu semangat untuk menjadi anak seni yang muncul dengan karya berkualiti.

Alhamdulillah saya sudah buktikan yang terbaik pada pada rakyat Malaysia dan ini adalah satu rezeki serta menjadi salah satu momen terindah dalam hidup.

“Kejayaan ini juga berkat doa keluarga dan peminat-peminat yang tidak pernah berhenti memberi sokongan sejak saya ‘zero’ sehingga sekarang,” katanya.

Bergelar juara dan sekali gus menebus kekalahan di pentas TTMM2 yang meletakkan di kedudukan kedua di belakang Anggrek, anak kepada penyanyi veteran, Jamilul Hayat itu menjelaskan, segala pengorbanan yang ditabur sepanjang lapan minggu berjuang dalam dua pertandingan berturut-turut akhirnya terbayar indah.

“Penat lelah selama lapan belas minggu sepanjang berada dalam dua pertandingan akhirnya terbayar dan sebab itu saya sujud syukur lama, alhamdulillah sudah bebas.

“Akhirnya saya sudah boleh makan apa saja yang diingini termasuk makanan berminyak, durian dan minum minuman berais, sebelum ini saya perlu banyak pantang.

“Buah durian merupakan kegemaran saya tetapi sekarang musim sudah habis, macam mana ini?” katanya sambil tertawa kecil.

MENGAKUI pernah mengecewakan bapanya sebelum ini, tekad Hussain hanya satu iaitu membahagiakan orang tuanya.

Hadiah untuk abah

Bukan sahaja untuk kepuasan diri, dia juga menganggap kemenangan tersebut hadiah terhebat yang diberikan kepada bapanya setakat ini.

“Ini adalah hadiah kepada abah dan sebab itu saya ucapkan terima kasih banyak kali kerana dia sudah beri banyak tunjuk ajar dan nasihat.

“Nasihat dia senang saja, stay on top, be humble dan buckle up.

“Satu lagi yang dia pesan, sentiasa memaafkan semua orang setiap kali sebelum tidur, saya akan pegang pesanan itu sampai bila-bila,” katanya lagi.

Katanya, dia tidak pernah membayangkan bakal merangkul gelaran juara sedangkan sasarannya hanya untuk berjaya melangkah ke pentas final sahaja.

“Saya sebenarnya tak sangka sebab sasaran hanya sampai final sahaja.

“Dapat masuk Big Stage pun sudah bersyukur sebab berpeluang sertai kelas vokal dan sebagainya kerana bayaran untuk kelas begitu di luar mencecah RM300 hingga RM500.

“Saya bertahan sehingga ke final juga adalah hasil doa keluarga dan sokongan peminat, tanpa mereka siapalah saya,” jelasnya yang membawa pulang wang tunai RM30,000 dan kontrak rakaman bernilai RM100,000 bersama Rocketfuel.

Sedar bakal melalui lebih banyak dugaan dan rintangan selepas ini, Hussain memberitahu sudah mempersiapkan diri dan mentalnya sebelum menyertai TTMM2.

“Sebenarnya saya sudah lama bersedia dan abah juga banyak kali terangkan banyak perkara mengenai industri ini.

“Sebelum ini saya banyak mengecewakan abah ketika zaman awal remaja dahulu dan sekarang saya nak bayar semua semula dengan kejayaan,” tutur anak saudara penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah itu.

Dalam masa sama, dia mengakui sudah bersedia untuk berdepan dengan segala kecaman termasuk individu yang kurang senang dengan kejayaannya.

“Kita semua manusia biasa, bukan mudah nak senangkan hati orang.

“Dalam 10 orang, mesti akan ada seorang rasa dengki tetapi nak buat macam mana.

“Cuma benda-benda jahat begini tak kekal lama pun, paling penting, ikhlaskan hati dan sentiasa memaafkan orang.

“Cara saya, buat tak tahu saja dan fikirkan apa yang lebih penting untuk hari mendatang,” akhirinya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok