KONSERT penyanyi dan penulis lirik Indonesia, Fiersa Besari yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 23 Ogos ini ditunda ke 12 Oktober depan.
Pengarah Pemasaran Seraya Group, Intan Dhenisya berkata, pihaknya melihat penangguhan Berjalan Mundur By Fiersa Besari Live In Kuala Lumpur secara positif bagi membolehkan pengkarya berusia 39 tahun itu membuat persediaan lebih mantap.
“Keputusan ini agak berat untuk kami lakukan, malah dengan rendah diri kami memohon maaf atas segala kesukaran berikutan perubahan tarikh konsert itu.
“Di sebalik apa yang berlaku, ini memberikan kami termasuk Fiersa sendiri, lebih ruang untuk membuat persediaan supaya dapat tampil lebih maksimum pada konsert terbabit.
“Tarikh baharu ini dipilih dengan teliti selain mengekalkan lokasi sama demi memastikan penonton mendapat kepuasan menerusi persembahan mega,” katanya dalam satu kenyataan.
Begitupun, penganjur tidak memberikan sebarang alasan berkenaan penangguhan tersebut.
Pada masa sama, Intan menjelaskan pihaknya selaku penganjur komited dalam memastikan semua pembeli tiket menikmati pengalaman terindah sepanjang konsert.
“Bagi pemegang tiket sedia ada, pas masuk mereka secara automatik akan dipindahkan ke tarikh baharu.
“Memahami kesulitan yang dilalui, mereka juga akan diberi peluang bertemu Fiersa dalam sesi eksklusif ‘Meet & Greet’ nanti,” katanya.
Minggu lalu Seraya Group mengumumkan bakal menerbangkan Fiersa ke Kuala Lumpur bagi membolehkan peminat meneroka kembara seni lelaki kelahiran Bandung itu sepanjang 14 tahun berkarya.
Konsert itu juga menjadi platform Fiearsa berkongsi keindahan lima album yang dihasilkannya termasuk buah tangan terbaharu, Berjalan Mundur yang menemui peminat pada November lalu.
Tiket konsert dijual dengan harga RM159 hingga RM3,403. – HIBGLAM