AKSI luar biasa Joe Flizzow dalam This is Johan Live In Concert yang berlangsung di JioSpace, Petaling Jaya mencetuskan magis tersendiri sehingga membuatkan hampir 2,000 penonton khayal dibuai seleksi hiphop malar segar sejak figura itu mendominasi arena muzik bermula 1998 sehingga kini.
Jika dahulunya, Joe cemerlang dengan regu kumpulannya Too Phat iaitu Malique, kini pemilik nama lengkap Johan Ishak itu sudah 15 tahun bergerak solo menjulang nama di langit muzik tanah air sehingga dijolok sebagai Presiden Hip-Hop atau The President.
Tepat pukul 9 malam, kemunculan Joe Flizzow disambut dengan teriakan peminat yang sudah lama kehausan hiburan langsung daripada idola mereka yang tidak pernah mengadakan konsert berskala besar sepanjang bergerak solo.
Tampil dengan aura hip hop sejati bersulam gaya ‘swag’ maskulin, penyanyi rap lagenda itu mengenakan tiga busana sepanjang konsert berlangsung.
Konsert yang berdurasi dua jam itu tidak sedikit pun mencetuskan bosan apatah lagi rasa mengantuk malah penonton bagai tidak keruan apabila muzik elektronik bergema memecahkan kesunyian segenap ruang.
Konsert sulung
Konsert sulung penyanyi kelahiran Johor Bahru itu umpama membawa khalayak ke terowong masa apabila penghibur berusia 44 tahun itu menyampaikan dendangan segar daripada album terbaharunya selepas bergerak solo, The President.
Antara repertoire persembahan adalah lagu Baek, Sunyi diikuti dengan lagu-lagu hits lain yang pernah mencipta fenomena seperti Alhamdulillah, Dua Dunia dan Satu Kali.
Joe menggegarkan premis itu dengan 36 rendisi hits bersama Malique ketika kebangkitan figura duo tersohor itu dalam arena muzik tanah air.
Tidak terhenti di situ, momentum konsert dimantapkan lagi persembahan duet bersama barisan penyanyi yang pernah menjadi regu Joe Flizzow di dalam lagu lagu hitsnya.
Bermula dengan duet bersama penyanyi rap Adeep dan silih berganti dengan Azlan and The Typewriter diikuti dengan duet bersama protegenya, Ila Damia.
Energi dihangatkan lagi dengan kemunculan bintang sensasi MK K-Clique yang menyuntik adrenalin sebaik mereka mendendangkan lagu ‘sing along’ berjudul Ciao.
Kemunculan MK di atas pentas merupakan kejutan buat penonton yang datang lantas disambut sorakan ramai yang bagaikan histeria melihat dua ikon hip-hop berkongsi pentas.
Ruang digamatkan dengan kehadiran dua lagi penyanyi rap popular, Sonaone dan Alyph dengan dendangan lagu Sang Saka Biru yang pasti memahat sejarah tersendiri apabila masing-masing ‘bertempur’ dan bersinergi di pentas hangat tersebut.
Liga tersendiri
Meniti usia mencecah lebih empat dekad, Joe tidak sedikitpun menunjukkan kepenatan mahupun semput ketika menyanyikan lagu rap.
Tenaga yang ditampilkan selayaknya membawa semangat jejaka usia 20-an.
Barangkali disebabkan rasa terharu melihat sambutan hangat penonton yang memberi sokongan penuh terhadap konsert sulungnya, Joe bagai kehilangan kata-kata.
Hanya ungkapan terima kasih yang kedengaran berulang kali menandakan penghargaan penghibur kesayangan ramai itu kepada peminat tegarnya.
Suami kepada wanita bernama Marini Ramlan itu tidak lupa memperkenalkan barisan pemuzik yang memastikan kejayaan konsert sulungnya.
Selain penonton, Joe turut disaksikan rakan selebriti seperti Ernie Zakri, Syamel dan Hawa Rizwana. Kehadiran Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang pernah menjadi rakan sekelasnya dahulu juga amat bermakna buat Joe.
Sebelum mengakhiri persembahan, Joe meninggalkan bekalan kerinduan ramai dengan sebuah lagu, Satu Malam Di Temasek sebagai penutup epik konsertnya dengan nyanyian bersama penonton yang sudah sebati melumati lirik dan melodi lantunannya sekian banyak masa.