MESKI dihentam teruk berikutan menggayakan busana pelik di sebuah acara hiburan, penyanyi Aina Abdul bagaimanapun tenang menerima segala teguran netizen dengan hati terbuka.
Jarang bersuara dalam media sosial, pemilik nama lengkap Nurul Aina Abdul Ghani berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan memberi perhatian terhadap jenis pakaian yang digayakannya pada acara tersebut.
“Selalunya saya jarang sekali meluahkan isi hati, saya disini sentiasa kuat dan teguh. Namun hari ini (semalam), saya terpanggil mahu tulis sesuatu.
“Ya benar, saya ada melihat dan membaca semua teguran serta nasihat malah saya teliti, renungkan semua teguran yang diberi,” katanya dalam Instagram semalam.
Dalam pada itu, pelantun lagu Terus Hidup itu menghargai semua mesej positif serta sokongan yang dititipkan oleh segelintir individu buat dirinya.
Jelasnya, dia akan sedaya upaya berusaha memperbaiki diri dan pemakaiannya ke arah yang lebih baik.
“Terima kasih kepada semua kerana ambil berat, menegur untuk kebaikan dan meninggalkan mesej yang baik selain memberi sokongan. Saya hargai semuanya.
“Alhamdulillah, saya akan terus mencuba untuk menjadi yang lebih baik selepas ini okay?,” ujarnya.
Terdahulu, Aina menggayakan busana berbentuk ‘blazer’ gergasi berona merah hati selebar empat kaki sewaktu berjalan di acara karpet merah Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABP35).
Selang beberapa minit kemudian, penyanyi berusia 30 tahun itu dilihat menukar busana pertama kepada konsep sekuntum bunga mawar merah besar di dada bersama ekor gaun yang meleret panjang.
Fesyen berani matinya itu menuai perhatian ramai pihak termasuk pendakwah bebas yang tampil menegur penampilan segelintir selebriti yang gemar menggayakan pakaian pelik atau ‘aneh’ ketika menghadiri sesebuah acara.
Jelas pendakwah tersebut, pakaian pelik dan berlebih-lebih sebenarnya dilarang dalam Islam meskipun menutup aurat, pakaian sedemikian dikategorikan sebagai Libas al-Syurah (pelik sehingga mengundang perhatian).
Meskipun pendakwah tersebut tidak memetik nama mana-mana artis, namun majoriti netizen mendakwa teguran tersebut ditujukan kepada Aina Abdul. – HIBGLAM