ANAK kedua Shuib, Dzahira Talita Zahra tidak sabar untuk bapa dan ibu tirinya, Watie menimang cahaya mata sendiri.
Kata Talita, dia tidak menolak andai orang tuanya itu dikurniakan cahaya mata dalam waktu terdekat. Malah, dia bersedia membantu menjaga bakal adiknya.
“Saya suka kalau dapat adik lagi. Kalau boleh ingin dua adik lelaki, sebab saya mahu jadi satu-satunya ‘princess’ (puteri),” tambah anak tunggal perempuan itu lagi.
Dalam pada itu, anak kedua daripada empat bersaudara itu mengakui ibu tirinya, Watie atau nama sebenar Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah seorang wanita yang baik dan pandai simpan rahsia.
Malah Watie yang dipanggil ‘mommy’ itu dianggap sebagai geng ‘sekepala’ apabila selalu memenuhi permintaannya menemani keluar makan atau bermain.
“Mommy sangat baik, selalu main dengan saya dan lagi satu dia lawak (mudah terhibur), suka ketawa,” katanya ketika ditanya tentang peribadi ahli perniagaan itu.
Malam tadi tepat jam 8.48, Shuib, 38, selamat bergelar suami kepada Watie. – HIBGLAM