Lebih selektif memilih naskhah sejak kelahiran anak bongsu lima tahun lalu, pelakon Nora Danish mengambil keputusan membuka sebuah rumah produksi bagi membolehkannya terus berkarya.
Katanya, kesibukan menguruskan anak-anak yang membuatkannya semakin menjaga nilai eksklusif memaksanya menolak lebih 10 tawaran lakonan.
“Selepas melahirkan anak bongsu pada 2018, saya kena memperlahankan rentak kerana kebanyakan tawaran menuntut masa yang panjang selain perlu ke luar daerah.
“Hakikatnya saya sayangkan kerjaya ini. Apabila orang kata saya memilih, bukan. Cuma saya menjaga eksklusiviti disebabkan masa yang terhad dan keluarga menjadi keutamaan,” katanya.
Justeru kata Nora, dia membuka produksi sendiri iaitu ND Production yang beroperasi sejak Disember tahun lalu.
“Ikut perancangan filem pertama bakal diterbitkan selewat-lewatnya akhir tahun ini. Semua ini saya dah rancang tahun lalu.
“Tahun 2023 adalah waktu paling tepat untuk mencuba sesuatu yang baharu sesuai dengan pengalaman dalam industri seni selama 20 tahun,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis tayangan perdana filem terbarunya, Sumpahan Malam Raya arahan Profesor A. Razak Mohaideen, baru-baru ini.
Pada masa sama, pemilik nama sebenar Nora Mohd. Danish Hanif, 41, meluahkan rasa teruja apabila berpeluang memilih jenis naskhah serta barisan pelakon yang diinginkan untuk penerbitannya nanti.
“Sepanjang tempoh lima tahun lalu, saya ada lebih masa untuk bersama keluarga dan anak-anak terutama yang bongsu membuatkan saya letak ke tepi kerisauan tidak lagi dapat tawaran berlakon.
“Dengan adanya rumah produksi sendiri, saya boleh kembali aktif. Kiranya dapat lepas gian selepas ini serta dapat merealisasikan watak berat atau karakter yang saya belum cuba sebelum ini.
“Kiranya saya boleh pilih pelakon, jalan cerita dan sesiapa saja yang saya teringin bekerja namun pada waktu sama memastikan kesejahteraan kru terjaga dengan baik,” tambahnya.
Sementara itu, mengenai Sumpahan Malam Raya, kata Nora, watak dibawakan dalam filem tersebut mempunyai keunikan serta sangat menyeronokkan.
“Saya memang suka bekerja di bawah A. Razak Mohaideen sebab dia seorang yang sangat terbuka selain mudah bertolak ansur dari segi jadual kerja.
“Bekerja dengan barisan pelakon lain juga sesuatu yang meninggalkan pengalaman manis hinggakan penggambaran berlangsung dengan lancar,” katanya.
Filem yang bakal menemui penonton pada 22 April ini turut dibintangi Atu Zero, Reen Rahim, Datuk Yusry Abdul Halim, Datin Lisa Surihani, Danial Zaini, Rita Rudaini, Saiful Apek, Yassin Yahya dan Ropie Cecupak. – KOSMO! ONLINE